berita

‘Hanya Mampu Tatap Baju Labuci’ – Tak Mampu Gelek Lagi, M. Daud Kilau Lupakan Dunia Hiburan

November 19th, 2019 | by Amat
Kini Trending

Siapa yang tidak kenal dengan Raja Gelek Malaysia dan penyanyi veteran Malaysia iaitu Datuk M. Daud Kilau yang pernah menghiburkan kita dengan lagu seperti Cek Mek Molek, Gila Judi dan sebagainya. Terbaru, menerusi page Perak Gazette, berkongsi berita menyedihkan apabila penyanyi veteran itu telah membuat keputusan untuk melupakan dunia hiburan atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Tak mampu nak buat persembahan lagi

Foto Perak Gazette

Menurut penyanyi ini juga, dia sudah tidak mampu untuk berdiri apatah lagi menghiburkan penonton dengan geleknya di atas pentas. Dia membuat keputusan itu selepas mengalami masalah kesihatan berlarutan selepas komplikasi membuang air kecil sejak tahun 2016 lagi.

Selepas itu saya masih mampu lagi memenuhi undangan membuat persembahan namun setahun kemudian, kesihatan saya semakin teruk. Sekarang saya membuat rawatan susulan dua atau tiga minggu sekali di klinik dan hospital.

Saya menghidap sakit kencing manis, kebas kaki dan tangan serta pinggang yang rasanya sakit sangat. Saya dah tak larat nak berdiri dan bergelek di atas pentas lagi. Tak boleh nak buat persembahan lagi.

Takkan nak tunjuk muka saja

Foto Perak Gazette

Tambahnya lagi, beberapa tawaran persembahan terpaksa ditolak termasuk membuat persembahan di Singapura bersama kumpulan Black Dog Bone. Dia tetap menolak tawaran itu walaupun telah ditawarkan untuk duduk sahaja sepanjang persembahan.

Saya menolak untuk membuat persembahan kerana saya tak boleh berdiri lama, saya selalunya lincah di atas pentas. Kalau datang duduk saja di atas pentas, tak elok. Takkan nak tunjuk muka saja. Black Dog Bone kata datang saja, mereka buat persembahan dan saya duduk saja. Tak nak saya.

Belum pernah saya buat macam tu, kecualilah saya tetamu jemputan yang hanya datang dan duduk saja. Mereka beri duit, tambang kapal terbang, hotel, takkan saya datang nak duduk sahaja. Jadi saya minta maaf kepada mereka yang membuat tawaran, saya tak dapat memenuhi undangan mereka kerana masalah kesihatan yang saya alami.

Saya tatap koleksi baju labuci

Foto Perak Gazette

Penyanyi berusia 81 tahun itu mengharapkan semua peminat untuk terus berdoa terhadap kesihatannya. Dia turut mengakui merindui bertemu peminat-peminatnya.

Kalau rindukan peminat, saya tatap koleksi baju labuci yang masih saya simpan dengan rapi. Namun tanaman yang saya usahakan tak menjadi sebab saya dah tak larat. Saya berharap peminat mendoakan kesihatan saya.

Saya hanya mahu menghabiskan sisa hidup ini, berapa lama lagi Allah bagi saya. Saya bersyukur sampai sekarang Allah memberi nafas kepada saya.

Cek Mek Molek

https://www.youtube.com/watch?v=bzJHSf3EACc

Sepastinya lagu Che Mek Molek nyanyian Datuk M. Daud Kilau ini menjadi nostalgia buat semua peminat Raja Gelek Malaysia.

Sumber: Perak Gazette

SKIP THIS AD ×