
Penyanyi, Haqiem Rusli mengakui isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, menjadi individu paling banyak membimbing dan mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih matang dari segi komunikasi serta cara berfikir.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Dah Dekat 12 Tahun Dalam Industri, Baru Beli Mikrofon Sendiri’ – Haqiem Rusli
Artikel Berkaitan: ‘Mikrofon Ini Bagi Saya Semangat Baru, Bila Menyanyi Pun Rasa Premium’ – Haqiem Rusli
Haqiem Rusli banyak berubah

Menurut Haqiem, 28, alam perkahwinan banyak mengajarnya untuk menjadi insan yang lebih baik, selain menjadikan dirinya lebih tenang dalam berdepan pelbagai situasi.
Alam perkahwinan memang banyak mengajar saya menjadi manusia lebih baik.
Sejujurnya, insan paling banyak menegur dan mendorong saya berubah menjadi lebih baik ialah isteri saya. Dialah banyak mengajar saya.
Isteri mengajar cara berkomunikasi, cara berfikir, apa boleh cakap dan apa tidak. Kami belajar bersama-sama.
Haqiem berkata demikian ketika menjayakan persembahan pada Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026, baru-baru ini.
Suka ikut emosi

Pemilik nama Ridzuan Haqiem Rusli itu turut mengakui dirinya sebelum ini seorang yang mudah mengikut emosi dan sering bertindak secara terburu-buru, terutama apabila berdepan sesuatu isu di media sosial.
Saya memang degil dahulu. Umur 17 atau 18 tahun, cakap mak pun susah dengar.
Kalau terasa hati atau tercetus sesuatu isu, saya terus membalas dalam media sosial.
Dalam pada itu, pelantun lagu Mimpi itu mendedahkan isterinya juga banyak membantu dalam memperbaiki aspek profesionalnya sebagai anak seni, termasuk dari segi penampilan dan kelengkapan persembahan.
Pernah dia tegur, takkan setiap kali membuat persembahan saya pakai jaket sama sahaja?
Dari situ saya sedar, kalau orang sudah membayar untuk melihat persembahan kita, kita juga perlu melabur demi memberikan persembahan terbaik.
Dia juga suruh saya beli mikrofon baharu dan memperbaiki banyak perkara.
Tambah Haqiem, setiap teguran dan nasihat yang diberikan isterinya membuatkan dia lebih menghargai kepentingan untuk terus memperbaiki diri, bukan sahaja sebagai seorang suami tetapi juga sebagai anak seni yang sentiasa menjadi perhatian ramai.
Selain Haqiem, penyanyi legenda Zaiton Sameon turut dijemput memeriahkan Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026 yang dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis tersebut merupakan platform penghormatan tertinggi peringkat negeri yang dianjurkan secara kolaboratif oleh Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) serta Jabatan Pendidikan Negeri Pahang bagi memartabatkan profesion keguruan dan meraikan kecemerlangan sekolah-sekolah di negeri itu.
Sebanyak lebih RM60,000 diperuntukkan sebagai hadiah tunai bagi menghargai 49 penerima anugerah yang terdiri daripada individu dan institusi pendidikan. Antara pengiktirafan yang diberikan termasuk Hadiah Ikon Guru Akademik serta 11 kategori Ikon Guru daripada pelbagai latar belakang seperti pencipta kandungan digital, guru inovatif, guru OKU dan guru Orang Asli.
Bagi kecemerlangan akademik SPM, sebanyak 12 sekolah menerima pengiktirafan selepas mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) bawah 2.30, selain beberapa sekolah lain yang merekodkan lonjakan GPS melebihi 0.90. Selain itu, 14 sekolah dari seluruh Pahang dipilih menerima Anugerah Lonjakan Layak Menerima Sijil (LMS) terbaik bagi memastikan pengiktirafan diberikan secara saksama di setiap kawasan.
Sokongan terhadap pendidikan turut dizahirkan menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang dan PIBKS melalui peruntukan khas serta pengurusan hadiah, sijil dan logistik.
Sebagai simbol kebersamaan warga pendidik, YAB Menteri Besar turut menyerahkan kain baju batik secara simbolik kepada Pengarah Pendidikan Pahang untuk diagihkan kepada lebih 25,000 warga pendidik di seluruh negeri itu.








