Ikon permotoran, Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit miliknya.
Artikel Berkaitan: Ikon Permotoran Ditahan Polis Selepas Disyaki Ugut Sebar Gambar Lucah Bekas Kekasih
Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah
Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar berusia 22 tahun didakwa menyimpan gambar dan foto lucah bekas kekasihnya, 21, di dalam galeri telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7plus miliknya. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapa yang uzur.
Tertuduh yang bekerja sebagai pencipta kandungan dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 23 Februari tahun depan.
Terdahulu, tertuduh telah ditahan polis pada Jumaat lepas kerana disyaki mengugut untuk menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Rawang, 9 Disember lalu.
Sumber: Harian Metro