Pelakon dan pengacara popular, Uyaina Arshad berkongsi berita sedih pagi ini, apabila abang sulungnya, Mohd Attaful Uzair bin Arshad meninggal dunia. Menurut Uyaina, abangnya meninggal dunia sama usia dengan arwah bapanya. Salam takziah!
Anak, abang dan suami yang baik
Menerusi perkongsian tersebut, Uyaina memberitahu abangnya seorang anak dan suami yang baik. Tambah Uyaina, abangnya sentiasa dahulukan ibu dan menunjuk contoh yang baik buat adik-adiknya.
Mohd Attaful Uzair bin Arshad. Pulangnya abang sulungku ke negeri abadi. Bertemu Sang Pencipta. Orang baik selalu pergi dulu. Dia tersangat baik. Terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik. Lepas arwah Baba meninggal, dia jadi ketua keluarga. Dari kecik lagi dia dah set contoh yang baik untuk kami adik-adik. Dia masuk asrama. Kami semua nak masuk asrama.
Dia berjaya dalam pelajaran. Kami semua nak berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan Ummi. Kami adik2 berebut nak berbakti untuk Ummi. Dia baik. Dia pemurah. Dia penyayang.
Ujar Uyaina, mereka baru sahaja berjumpa semalam. Semasa makan malam, mereka sempat bersembang dan bergelak tawa. Uyaina turut berkata, abangnya sempat menitipkan beberapa pesanan.
Dia risaukan adiknya nak bersalin. Rupa-rupanya dia yang pergi dulu. Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi. Sama usia dengan arwah Baba sewaktu dia meninggal dunia. Rasa terlalu perit dan sakit nak diungkap dengan kata-kata. Kehilangan seorang insan yang terlalu baik. Kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang.
Diiringi pemergian anak sulung
Paling menyedihkan, Uyaina memberitahu hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran ibunya.
Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi Ummi. Lama dia plan nak sambut birthday Ummi. Akhirnya, hari lahir Ummi diiringi dengan pemergian anak sulungnya. Allahuakbar. Abangku Uzair, semoga syurga menantimu. Minta kalian semua hadiahkan Al-Fatihah buat Mohd Attaful Uzair bin Arshad. Doakan juga kesejahteraan dan kekuatan buat isteri dan anak-anaknya.
Sumber: Uyaina Arshad