YouTube bersama rakan-rakan acara MyGameOn dan IGN Southeast Asia telah mengumumkan tarikh-tarikh baru bagi Pesta Game – Hari Sukan maya pertama Malaysia iaitu pada 27 dan 28 Mac ini.
Acara tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Januari lalu ditunda bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para pencipta, rakan-rakan acara dan semua yang terlibat dijaga ketika pandemik.
8 saluran Youtube serentak
Acara pertama dari siri acara YouTube Super Streams yang akan dianjurkan sepanjang 2021, Pesta Game akan disiarkan dalam Bahasa Malaysia secara serentak merentasi lapan saluran YouTube terbesar Malaysia – juga buat kali pertama! – seperti saluran saluran TV3, TV9, Drama Sangat dan Hot TV oleh Media Prima, sehingga ke saluran individu pencipta kandungan yang mengambil bahagian: saudara bertiga Cikidot, ‘vlogger’ gaya hidup Dumpling Soda, pakar gajet Fuzz Channel dan selebriti mukbang Isaac Osman.
Acara 2-hari ini bukan sahaja akan menawarkan siaran penuh aksi untuk ditonton – para penonton juga berpeluang untuk menyertai pencipta kandungan kegemaran mereka SECARA LANGSUNG dalam permainan dan memenangi hadiah-hadiah menarik dari Samsung dan juga promosi-promosi eksklusif lain.
Ben Jern, Ketua YouTube Malaysia dalam satu kenyataan berkata pihaknya begitu teruja untuk meneruskan Pesta Game kali ini selepasnya ianya ditangguhkan tempoh hari.
Kami berasa gembira dengan talian hayat yang telah diberikan kepada Pesta Game untuk diteruskan. Kami sememangnya membayangkan acara ini sebagai sebuah cara untuk kita semua meluangkan masa bersama secara selamat dari kediaman masing-masing, dan siaran langsung permainan video bersama para pencipta kandungan YouTube kegemaran Malaysia merentasi peranti mudah alih, komputer dan TV terhubung merupakan cara yang terbaik untuk berbuat sedemikian. Hari sukan mesti diteruskan!
Buat peminat sukan atas talian, jangan lupa saksikan Pesta Game 2021 yang akan berlangsung selama dua hari pada 27 dan 28 Mac ini. Pelbagai mainan popular akan dipertandingkan dan yang pasti banyak hadiah menarik menanti pemenang. Kalau berani join lah jadi pemain sekali!