
Di sebalik personaliti yang lucu dan menghiburkan, pempengaruh media sosial, Harszan sebenarnya menyimpan kisah duka apabila mendedahkan dirinya merupakan bayi terbuang sewaktu kecil.
Artikel Berkaitan: Datuk Red ‘Melobi’ Nak Sertai AI Team – ‘Abang Nak Cari Duit, Kerja Tak Banyak Sangat’
Bayi terbuang
Menerusi pendedahan di AI Team Podcast, Harszan memberitahu, dia telah ditemui orang awam di sebuah kawasan perumahan dalam keadaan menyayat hati sebelum dibawa ke hospital.
Ada orang jumpa saya di satu tempat, kemudian saya dibawa ke hospital. Namun, tiada sesiapa yang datang menuntut saya di hospital.
Ketika saya dijumpai, darah pada badan saya sudah kering. Mungkin saya sudah terbiar dalam sehari dua.
Tambah Harszan, ketiadaan waris menyebabkan dia diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga berusia dua tahun sebelum diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri.
Saya kemudian diletak di rumah kebajikan masyarakat sehingga usia dua tahun. Selepas itu, saya dijadikan anak angkat oleh pasangan suami isteri.
Dalam pada itu, Harszan turut berkongsi perjuangannya memperoleh kewarganegaraan Malaysia disebabkan statusnya sebagai bayi tidak berdaftar menyebabkan dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri rasmi.
Saya tiada IC kerana ketika dibuang, tiada yang daftarkan kelahiran saya di JPN (Jabatan Pendafataran Negara). Saya tiada sijil lahir.
Saya tunggu dari umur 12 sampai 21 tahun. Dalam tempoh sembilan tahun itu, saya tak boleh naik kapal terbang, tak boleh buka akaun bank dan susah nak dapat kerja.
Saya pernah kena halau masa minta kerja. Mereka cakap saya bukan orang Malaysia. Pernah juga ditawarkan gaji RM500 saja sebab saya tak ada IC dan semua bayaran yang saya terima pun dalam bentuk tunai.
Sumber: YouTube