berita

Hazama Risau Perkahwinan Jejas Kerjaya

October 25th, 2013 | by Ai
Isu & Kontroversi

PC Anugerah Industri Muzik-19

Walaupun usianya sudah dikira cukup layak untuk mendirikan rumahtangga, namun penyanyi yang baru sahaja melancarkan album sulung beberapa bulan lepas ini tetap mempunyai pendapat sendiri mengenai perkahwinan.

Menurut Hazama, dia sememangnya sudah bersedia untuk menjadi seorang suami namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum melangkah ke jinjang pelamin.

Saya dah lama bersedia nak kahwin tapi saya rasakan masanya belum sesuai. Saya sendiri pun baru lancarkan album dan dalam rangka promosi, jadi sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya menaikkan nama saya.


PC Anugerah Industri Muzik-18

Dalam masa yang sama, jejaka berusia 29 tahun ini risau seandainya perkahwinan yang bakal dibina nanti akan membataskan kerjayanya sebagai anak seni.

Saya pasti bakal isteri tidak akan menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang seni. Tapi bila berkahwin nanti, tanggungjawab semestinya akan bertambah. Jadi, saya risau kalau-kalau tak mempunyai masa untuk menguruskan kerjaya saya nanti. Apatah lagi saya bukan seorang yang boleh membuat banyak kerja dalam satu masa.

Meskipun tidak meletak sasaran umur yang sesuai untuk menamatkan zaman bujang, namun Hazama tidak menolak jika sampai seru untuk berkahwin pada tahun hadapan.

Mungkin masih ada yang belum tahu bahawa Hazama kini sedang menjalinkan hubungan dengan seorang pemuzik terkenal, Genervie Kam sejak beberapa bulan lepas.

PC Anugerah Industri Muzik-20

Beralih kepada soal kerjaya pula, nama dan bakat Hazama nampaknya sudah semakin diterima dan dihargai apabila menjadi antara penyanyi yang mendapat pencalonan terbanyak di dalam Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20).

Saya memang bersyukur kerana nama saya tercalon lagi dalam AIM tahun ini. Saya tak kisah menang ataupun tidak kerana dapat tahu tercalon pun sudah cukup buat saya gembira. Tapi dalam banyak-banyak kategori yang tercalon, saya harap dapat memenangi Anugerah Album Terbaik.

Untuk pengetahuan anda, nama Hazama telah dicalonkan untuk empat kategori antaranya Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam lagu (Lelaki), Kulit Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik, dan Album Terbaik.

Tidak cukup dengan itu, Hazama juga tercalon dengan Sleeq di dalam satu kategori baru iaitu Persembahan Vokal Duo Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Lari.

Apapun untuk semua pembaca OHBULAN!, di sini kami sediakan beberapa keping foto Hazama yang ditemui sewaktu majlis sidang media AIM 20 di Hotel Istana semalam.

SKIP THIS AD ×