Bergelar isteri kepada usahawan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, pelakon dan aktivis kemanusiaan Heliza Helmi masih kekok dengan gelaran Datin Seri.
Artikel Berkaitan: Gelagat ‘Sweet’ Heliza Helmi Usap Janggut Suami, Tasbih Digital Di Jari Telunjuk Curi Perhatian Netizen
Artikel Berkaitan: Sweet Rupanya.. Heliza Helmi Dapat Kejutan Hari Lahir, Suami Bawa Keluarga Datang Pulau Langkawi & Pusing Naik ‘Cruise’
Panggil Kak Ja saja
Ketika ditemui OhBulan!, Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi, 36, menyatakan dia lebih selesa disapa dengan panggilan Kak Ja oleh orang ramai.
Katanya lagi , Kak Ja membuatkan hubungan rasa lebih rapat dengan aktivitinya yang banyak menghadiri program motivasi dengan para pelajar.
Panggil Kak Ja saja. Saya masih sama. Itulah saya dari dulu. Kalau ada yang panggil Datin Seri, kita raikan tapi lepas tu saya cakap saya okay dan lebih selesa dipanggil Kak Ja.
Kita kadang-kadang buat program motivasi dengan pelajar, jadi panggilan Kak Ja itu membuatkan kami lebih rapat dan mesra, nampak macam kakak dan adik.
Untuk majlis formal atau rasmi kita ikutlah tapi untuk panggilan boleh sahaja Heliza atau Kak Ja.
Pada 1 Januari lalu, Heliza berkahwin dengan ahli perniagaan berstatus jutawan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Sedang sesuaikan diri
Bercerita mengenai kehidupan bercinta selepas berkahwin, pelakon filem Syurga Cinta ini masih dalam fasa membiasakan diri dan sedang mempelajari banyak perkara baharu.
Malah katanya, dia juga bersyukur kerana dilimpahi rezeki yang tidak dijangka selepas mendirikan rumah tangga.
Sejujurnya banyak lagi kena belajar, iyalah benda baharu mesti ada yang kita tak biasa lagi, jadi saya sedang menyesuaikan diri.. Kiranya macam budak tadika yang baharu nak masuk sekolah.
Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Soal kerjaya tak mengganggu kerana sebelum ini pun di tahu jadual saya agak padat tapi apa-apa pun kita akan berbincang dan dapatkan kata sepakat dahulu.
Ya betul bila dah kahwin ni rezeki memang tak jangka, nikmat Allah sangat dasyat. Kita pula rasa cuak sebab terkejut dengan apa yang Allah bagi.. tak sangka, bersyukur sangat.
Heliza ditemui semasa pelancaran filem Road To Heaven yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ampang, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Filem Road To Heaven terbitan AIMC ini mengisahkan mengenai dua beradik yang aktif menyertai misi bantuan kemanusiaan dan akan menjalani penggambaran di Palestin.
Selain Heliza, filem arahan Nizam Zakaria ini turut dibintangi oleh adiknya iaitu Hazwani Helmi dan Josiah Lim.