Tahun Baru Cina bakal disambut pada 25 Januari ini menandakan permulaan tahun baru menurut kalendar lunar Cina. Menjadi kebiasaan untuk premis menghidupkan suasana perayaan dengan hiasan warna merah, tanglung dan pelbagai lagi dekorasi budaya Cina.
Sebuah sekolah, SMK Pusat Bandar Puchong 1 yang menghias bangunannya untuk menyambut tahun baru itu menerima respon kurang senang sesetengah pihak. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memberi respon berkenaan isu tersebut.
Perhiasan tahun baru yang dikatakan ‘sakit mata’
Seorang pengguna Twitter berkongsi surat aduan dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang menerima laporan ibu bapa mengenai perhiasan Tahun Baru Cina di sekolah terbabit yang digambarkan ‘tidak selesa’ dan ‘tidak senang hati’.
Dakwa Naib Presiden PUTRA, Mohd Khairul Azam, ibu bapa membayangkan sekolah terbabit dihias seperti gedung perniagaan China dan terdapat unsur-unsur selain agama Islam. Keadaan itu tambahnya lagi mendatangkan rasa tidak aman selain bertentangan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Aduan yang kami terima menggambarkan rasa tidak selesa dan tidak senang hati ibu bapa berkaitan dengan perhiasan yang keterlaluan di sekolah puan untuk sambutan perayaan tahun baru cina 2020.
Ada juga ibu bapa yang membayangkan keadaan sekolah yang seolah-olah telah dihias seumpama gedung perniagaan milik China dan terdapat unsur-unsur keagamaan selain agama Islam yang telah mendatangkan perasaan tidak aman dan damai di kalangan pelajar beragama Islam dan bertentangan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Syed Saddiq balas tweet
Syed Saddiq menerusi Twitternya membalas tweet berkenaan dengan menyatakan sekolah kebangsaan adalah milik semua manakala perayaan Tahun Baru Cina dikongsi raikan seluruh rakyat kerana Malaysia milik semua. Dia sempat menyindir, apabila tiba perayaan ini, pihak terbabit ‘pandai pula tuntut cuti’.
Tahun Baru Cina perayaan budaya
Seorang netizen berkongsi pandangannya mengenai Tahun Baru Cina yang merupakan perayaan budaya dan bukan berkait dengan agama. Dia juga turut menyertakan pandangan Mufti Wilayah, Dr Zulkifly Al-Bakri.
Perayaan adat, tak babit akidah
Sumber: Syed Saddiq, Mufti Wilayah Persekutuan