berita

Hidap Masalah Mental Selepas Dijangkiti Covid-19, Isteri Dedah Punca Suami Campak 3 Anak Di MRR2

August 4th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Tanggal 2 Ogos yang lalu, negara dikejutkan dengan berita seorang lelaki warga Myanmar bertindak mencampak tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 di Lebuhraya MRR2, Kepong. Bukan itu sahaja, lelaki berkenaan turut bertindak membunuh diri selepas melakukan perbuatan kejam tersebut.

Artikel berkaitan: Bapa Bunuh Diri Lepas Campak 3 Anak Dari MRR2, 2 Disahkan Meninggal Dunia

Berikutan kes tersebut, isteri kepada lelaki berkenaan telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.

Masalah mental

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, lelaki tersebut pernah mengugut isterinya untuk membunuh diri. Tambah Beh, isteri lelaki itu hanya mengetahui berita berhubung suami dan tiga anaknya melalui laporan media.

Berdasarkan keterangan wanita yang juga warga Myanmar itu, dia memaklumkan suaminya mempunyai masalah mental selepas dijangkiti Covid-19 kira-kira setahun lalu. Sejak itu, lelaki berkenaan dilihat kerap kali menyendiri dan bercakap seorang diri sehinggakan banyak kali mengugut mahu membunuh diri. Lelaki itu tidak bekerja dan banyak menghabiskan masa menjaga anak-anak di rumah mereka di Kepong.

Wanita itu juga ada memaklumkan ketika dia tiba di rumah mereka kira-kira jam 10 malam sehari sebelum kejadian, dia mendapati suami dan tiga anaknya tidak kelihatan. Dia cuba menghubungi telefon bimbit lelaki itu beberapa kali, namun panggilannya tidak berjawab.

Diminta untuk mengulas mengenai keadaan anak bongsu pasangan itu, Beh berkata anak kecil berusia lima tahun itu masih dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

Menurut laporan doktor, kanak-kanak itu mengalami patah kaki serta patah tulang rusuk. Proses bedah siasat terhadap mayat lelaki terbabit serta dua anaknya pula dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×