berita

Hishammuddin Jelas 4 Cabaran Perlukan Kerjasama Keselamatan Dalam Dialog Shangri-La Ke-19

June 13th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Baru-baru ini telah berlangsung The 19th International Institute for  Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue 2022 (SLD2022) yang diadakan di Hotel Shangri-La, Singapura.

Forum yang diketuai Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein bagi delegasi Malaysia ini merupakan forum keselamatan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan Singapura sejak tahun 2002 melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Pertahanan,  pegawai-pegawai tertinggi tentera dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan dari negara-negara di rantau Asia Pasifik dan benua Eropah.

Hishammuddin juga telah diberi penghormatan sebagai salah seorang panel semasa sesi ketiga SLD2022.

“Ketakjaminan makanan mengancam masyarakat dan memburukkan lagi konflik” – Hishammuddin

Dalam sesi ketiga forum bertajuk “Developing New Forms of Security Cooperation”, Hishammuddin telah menekankan empat cabaran yang memerlukan kerjasama keselamatan, dan salah satu daripadanya adalah ketakjaminan makanan berikutan gangguan rantaian bekalan makanan secara global di seluruh dunia sewaktu COVID-19 melanda.

Mengulas lebih lanjut tentang kaitan isu ketakjaminan makanan dengan keselamatan dan pertahanan, Hishammuddin berkata, pandemik selama dua tahun dan kenaikan harga barang telah mengakibatkan kegelisahan, sekaligus mungkin mendorong rakyat untuk hilang pertimbangan serta mencetuskan gelombang ketidakstabilan politik sehingga menjejaskan keselamatan negara.

Beliau juga percaya bahawa situasi lebih buruk mungkin bakal muncul memandangkan krisis di Ukraine serta sekatan ketat ke atas Rusia dijangka mendorong lagi kenaikan harga dalam beberapa bulan akan datang.

Dalam pada itu, antara 3 lagi cabaran lain yang turut difokuskan adalah:

Peningkatan jenayah rentas sempadan kesan pembukaan semula sempadan

Setelah negara pulih daripada COVID-19, banyak negara yang akan membuka semula sempadan dalam usaha untuk mempromosi pergerakan rakyat, meningkatkan sektor pelancongan dan meningkatkan perniagaan, hal ini juga dijangka akan meningkatkan ancaman migrasi haram dan jenayah rentas sempadan.

Peningkatan maklumat salah dalam talian daripada kumpulan pengganas dan pelampau

Sejak wabak COVID-19 melanda dunia dua tahun lalu, liputan media yang berterusan dalam memberi gambaran bahawa wabak ini telah hilang dan percambahan berita palsu tentang idealogi, teori konspirasi tentang vaksin dan sebagainya kian meningkat.

Perkara ini turut membimbangkan dan Hishammuddin menegaskan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menentang ekstremisme.

Ancaman berterusan perang biologi

Melihat kepada kesan buruk COVID-19 terhadap kejatuhan negara di seluruh dunia, fokus negara telah beralih sepenuhnya kepada penjagaan kesihatan dan usaha untuk menurunkan kes harian serta membina dan memulihkan semula negara.

Namun, kita harus sentiasa berharap untuk yang terbaik, dan bersedia untuk yang terburuk sekiranya terdapat ancaman ‘musuh’ berpotensi yang mungkin sedang merancang untuk ke langkah seterusnya.

Turut serta dalam sesi ini ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Qatar, Dr Khalid bin Mohammad Al Attiyah.

Penyertaan YB Menteri Kanan Pertahanan ke Forum SLD2022 ini adalah satu bentuk kesinambungan penyertaan Malaysia dalam forum berkenaan sebelum ini, di samping menunjukkan komitmen serta kepimpinan Malaysia dalam isu pertahanan dan  keselamatan di rantau Asia Tenggara. 

SKIP THIS AD ×