berita

Hobi Pelik Ibu Gemar ‘Buang’ Darah Anak Separuh Liter Setiap Minggu

February 8th, 2019 | by faris
Kini Trending

Ibu bapa adalah insan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan anak-anak walau di mana sahaja mereka berada sehinggalah mereka mampu berdikari.

Lain pula ceritanya di Denmark apabila seorang ibu sanggup mengeluarkan darah anak sendiri sehingga menjejaskan kesihatan zuriatnya itu.

Ambil darah sejak 11 bulan

Mahkamah Denmark telah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang ibu yang juga jururawat kerana mengambil darah anaknya separuh liter setiap minggu selama lima tahun. Ibu kejam itu mula mengambil darah anaknya sejak si anak berusia 11 bulan dan kini berusia 7 tahun.

Menurut pengakuan wanita itu kepada doktor, anaknya mengalami kekurangan darah kerana sejenis penyakit tulang sumsum aneh. Doktor yang curiga dengan kenyataan itu memaklumkan kepada polis yang kemudian merakam perbuatannya itu.

Buang darah dalam tandas

Menurut ibu itu, dia tidak akan merayu setelah keputusan telah dijatuhkan oleh Mahkamah Daerah Herning, barat Denmark itu.

Ia bukan keputusan yang saya lakukan secara sedar. Saya tidak tahu bahawa saya tidak mempunyai hak melakukan sedemikian. Tabiat ini datang secara berperingkat.

Saya membuang darah anak dalam tandas dan melupuskan picagari dalam tong sampah.

Budak berkenaan yang kini tinggal bersama bapanya, menderita penyakit usus sejak dilahirkan namun sepanjang dia membesar, doktor tidak dapat menjelaskan sebab jumlah darah yang sedikit dalam badannya.

Sebelum ini, ibunya ditahan pada September 2017 ketika membawa satu beg darah. Di laman sosial, dia menunjukkan diri sebagai seorang ibu tunggal yang berjuang menjaga anaknya yang sakit.

Pakar psikiatri menjelaskan kepada mahkamah, ibu berkenaan dipercayai menghidap sindrom Munchausen, keadaan di mana seorang ibu mereka-reka sakit untuk anak dan menjalankan proses rawatan tidak perlu untuk ‘merawatnya’. Bagaimanapun, dia sihat untuk dipenjarakan.

Sumber: NDTV

The following two tabs change content below.

faris

Content champion at Rev Asia
Self-proclaimed foodie yang mahu salam cium tangan pencipta Horlicks Mcflurry.