
Isu melakukan hubungan intim ketika pasangan berada dalam keadaan tidak sihat sering menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam kerana ia menuntut keseimbangan antara hak suami dan isteri.
Artikel Berkaitan: Apa Hukum Lekat ‘Sticker’ Lucah Di Kenderaan? Ini Penjelasan Jabatan Mufti
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Benarkah Syed dan Sharifah Keturunan Nabi Muhammad SAW? Ini Penjelasan Ringkas Dari Ustaz Azhar Idrus
Tidak memudaratkan diri & pasangan
Islam membenarkan keperluan fitrah manusia, namun pelaksanaannya terikat dengan prinsip ihsan, kasih sayang serta tanggungjawab terhadap kesejahteraan pasangan.
Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Islam menetapkan prinsip tidak memudaratkan diri sendiri dan pasangan sebagai asas dalam kehidupan berumah tangga.
Prinsip ini merangkumi larangan dalam melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keselamatan, kesihatan atau kesejahteraan fizikal dan emosi pasangan.
Hal ini selari dengan penjelasan bahawa hubungan suami isteri hendaklah dilakukan atas dasar kerelaan bersama tanpa sebarang paksaan, serta tidak membawa kepada kecederaan yang memudaratkan.
Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
Dibolehkan selagi tidak memudaratkan
Dalam konteks ini, Jabatan Mufti Negeri Selangor turut menjelaskan bahawa sekiranya isteri berada dalam keadaan sakit sehingga tidak berupaya memenuhi ajakan suami, maka isteri dibenarkan untuk menolak dan suami tidak dibenarkan untuk memaksa.
Keadaan tersebut menuntut sikap toleransi dan empati kerana menjaga kesihatan pasangan merupakan sebahagian daripada tuntutan syarak.
Namun, sekiranya tahap kesihatan tidak menimbulkan risiko atau kemudaratan, pasangan disarankan untuk berbincang dan mendapatkan persetujuan secara baik.
Sehubungan itu, Islam tidak melarang keperluan batin, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan dan keadaan semasa pasangan.
Justeru, hubungan intim ketika sakit dibolehkan selagi tidak mendatangkan kemudaratan kepada mana-mana pihak.
Sumber: Sirap Limau, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Selangor