berita

Hukum Ziarah Kubur Pada Hari Raya

April 23rd, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Sudah menjadi kebiasaan buat semua umat Islam di Malaysia untuk menziarah kubur pada setiap pagi pada Hari Raya Aidilfitiri.

Namun, amalan menziarah kubur pada 1 Syawal ini menjadi perbualan dalam kalangan masyarakat yang musykil mengenai hukum sebenar menziarah kubur pada Hari Raya Aidilfitri.

Hukum dipecahkan kepada dua

Menerusi laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, amalan menziarah kubur ini pada awalnya dilarang Rasulullah saw tetapi diizinkannya bahkan menyuruhnya. Ini berdasarkan pada hadith yang bermaksud:

Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah.

Dalam pada itu, terdapat riwayat lain menunjukkan illah ataupun sebab ziarah kubur adalah untuk mengingati kematian. Dalam hadis Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A dia berkata: “Nabi SAW menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga menangis, kemudian dia bersabda yang bermaksud:

Aku meminta izin daripasa Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian.

Pada asasnya, menziarahi kubur pasti akan memberikan keinsafan serta semangat kepada manusia untuk terus beribadat sebagai persiapan menuju ke alam akhirat.

Bagi menjawab persoalan apakah hukum sebenarnya menziarah kubur pada hari raya, laman Mufti Wilayah memecahkan perkara ini kepada dua hukum.

Pertama: Hukumnya adalah makruh dan tidak dibenarkan dan tidak digalakkan bahkan ia dianggap bidaah. Ini kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya. Bahkan Baginda SAW melayani tetamu dan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain bagi menzahirkan kegembiraan.

Kedua: Hukumnya adalah harus. Ini kerana tidak ada perintah dan larangan secara khusus di samping mengambil pendapat umum berkenaan dengan perintah ziarah kubur. Justeru hukumnya adalah dibolehkan. Antara ulama yang berpendapat hukumnya sunat adalah dalam Fatawa al-Hindiyyah yang menyebut: Sebaik hari ziarah kubur antaranya hari raya.

Kesimpulannya, amalan menziarah kubur selepas dari sembahyang hari raya, adalah tidak mengapa jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

SKIP THIS AD ×