Impian gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy untuk menamatkan penantian 20 tahun Malaysia meraih pingat dalam acara gimnastik artistik di Sukan Komanwel tidak kesampaian apabila terlepas pingat gangsa acara melombol menerusi penentuan tie-break.

Artikel Berkaitan: Sea Games 2025: Sharul Aimy Raih Emas Acara Melombol

Impian bawa balik pingat

Menerusi hantaran di Instagram, Sharul, 24, meluahkan rasa sedih apabila pengorbanan yang dilalui sejak beberapa tahun lalu gagal diakhiri dengan pingat yang diimpikan.

Antara perjalanan paling sukar dalam kerjaya saya adalah mengejar impian memenangi pingat Sukan Komanwel. Selepas Sukan Komanwel Birmingham 2022, perjalanan untuk bangkit semula bukanlah sesuatu yang mudah.

Sepanjang empat tahun lalu, saya menjalani tiga pembedahan pada kaki, namun saya tidak pernah berhenti percaya terhadap impian.

Pada tahun 2026, hanya dua minggu sebelum pertandingan ini, saya langsung tidak mampu berlari kerana mengalami kecederaan pada lutut.

Namun, saya tetap memilih untuk bertanding dan menahan kesakitan kerana inilah saat yang saya nantikan selama bertahun-tahun.

Ini juga peluang untuk mencipta sejarah sekali lagi, 20 tahun selepas Ng Shu Wai menghadiahkan pingat terakhir Malaysia dalam acara gimnastik di Sukan Komanwel.

Tambah atlet kelahiran Terengganu itu, dia sanggup mengetepikan kesakitan demi memberikan persembahan terbaik buat negara, namun mengakui kecewa apabila usahanya tidak membuahkan hasil.

Saya mengetepikan segala kesakitan dan memberikan segala yang saya ada demi detik ini. Saya amat kecewa dengan keputusan yang diperoleh dan hati saya benar-benar luluh kerana perjalanan ini berakhir seperti ini.

Sementara itu, menerusi satu komen balas di Threads, Sharul mengakui dia yakin persembahannya mampu untuk menghadiahkan tempat di podium, namun akur dengan keputusan pemarkahan.

I know my score. Saya tahu saya sepatutnya berada di atas podium. Tetapi inilah gimnastik. Segala-galanya ditentukan oleh pemarkahan. Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan.

Pada aksi final di Glasgow International Arena, Sharul mengumpul 13.733 mata, berkongsi mata sama dengan gimnas Cyprus, Neofytos Kyriakou, namun terpaksa berpuas hati di tempat keempat mengikut peraturan tie-break.

Kyriakou meraih pingat gangsa selepas mencatat markah lebih tinggi bagi satu daripada dua lompatan, apabila memperoleh 14.100 mata pada percubaan pertama berbanding catatan terbaik Sharul Aimy 13.833 mata pada percubaan kedua.

Sumber: Instagram, Threads