berita

Ibu Alami Komplikasi Serius, Lahirkan Bayi Pramatang Seberat 1 Tin Coke Kini Hidup Normal

January 22nd, 2020 | by Shira
Kini Trending

Siapa sangka seorang bayi perempuan yang pada awal kelahirannyan hanya seberat 340 gram kini mampu hidup normal seperti kanak-kanak yang lain. Kisah sedih ini dilalui oleh pasangan suami isteri yang menetap di United Kingdom.

Ibu mengalami komplikasi serius

Menerusi laporan Daily Mail, bayi perempuan yang dikenali dengan nama Isabella Evans ini dilahirkan dalam keadaan pramatang iaitu ketika usia kandungan baru mencecah 24 minggu. Ibu, Kym Brown dikatakan terpaksa akur dengan keputusan doktor berikutan dengan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan kandungan itu bertahan lebih lama. Brown yang mengalami komplikasi serius yang membahayakan nyawa bayi dan dirinya sendiri.

Brown disahkan hamil sekitar Disember 2018 dan anaknya, Isabella telah selamat dilahirkan pada bulan Jun 2019. Tetapi tubuh badan Isabella tidak berada dalam keadaan normal seperti bayi-bayi yang lain sehingga dia telah digelar sebagai bayi pramatang terkecil di Britain dalam tempoh 15 tahun kerana beratnya bersamaan dengan satu tin Coke. Sebaik sahaja dilahirkan, Isabella telah diletakkan di dalam inkubator untuk membantu pernafasannya dan tubuhnya dibalut dengan bubble wrap untuk mengekalkan haba panas.

Isabella kini kembali sihat

Disebabkan itu, Isabella terpaksa menjadi pejuang cilik demi meneruskan hidupnya. Tetapi perjalanan hidup bayi kecil ini tidak terhenti di situ apabila doktor telah mengesan terdapat lubang pada usus Isabella. Doktor memaklumkan bahawa Isabella perlu menjalani pembedahan untuk memastikan kesihatannya itu berada dalam keadaan yang stabil. Tiga bulan selepas itu, Isabella dikatakan perlu menjalani pembedahan laser berasingan pada matanya.

Kami telah bersiap sedia diri untuk apa jua situasi yang paling teruk, jadi apabila kami mendapat panggilan untuk mengatakan pembedahan berjalan dengan baik, kami sangat terkejut.

Namun segalanya telah berubah apabila Isabella kini telah menjadi seorang bayi yang sihat dan dapat hidup seperti bayi-bayi yang lain. Berat Isabella kini telah kembali normal iaitu mencecah 5.8kg.

Sumber: Daily Mail, The Sun