berita

Ibu Bapa Didakwa Kurung Anak Dalam Sangkar Kucing & Simbah Dengan Air Panas Sehingga Mati

November 14th, 2019 | by Arini Saleh
Kini Trending

Di Singapura, sepasang suami isteri berdepan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup bagi tuduhan membunuh anak sendiri. Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega didakwa mengurung anak di dalam sangkar kucing gara-gara anak tidak mahu mandi.

Menerusi laporan Harian Metro, anak lelaki yang baru berusia lima tahun dikurung sebelum disimbah dengan air menggelegak sekurang-kurangnya 92 darjah Celcius.

Disiram dengan air panas

(Foto : todayonline)

Lapor portal itu lagi, mangsa turut dipukul menggunakan penyapu sehingga menyebabkan mangsa sedikit tempang dan bahagian tempurung lututnya senget. Dan pada 22 Oktober 2016, mangsa disiram dengan air panas di bahagian belakang dan betis hanya kerana enggan mandi.

Ekoran daripada itu, mangsa terus rebah dan tidak bergerak namun ibu bapa tidak terus membawa ke hospital sebaliknya menunggu enam jam kemudian. Mangsa dilaporkan meninggal dunia sehari selepas kejadian.

Saksi pertama kes, Profesor Madya Loh Tsee Foong memberitahu, mangsa melecur tahap ketiga iaitu meliputi 75 peratus badan, selain cedera di buah pinggang akut, penyahhidratan, patah hidung, luka-luka dan lambat bertutur. Tambahnya lagi, mangsa sekurang-kurangnya disimbah empat kali sebelum kematian.

Diserahkan sebagai anak angkat kepada rakan baik

(Sekadar gambar hiasan)

Today Online melaporkan, pada Mac 2011 mangsa diserahkan sebagai anak angkat kepada rakan baiknya seawal usia sebulan. Pada waktu itu, Azlin dan Ridzuan tidak bekerja selain menghadapi masalah kewangan. Ridzuan juga telah menjual beberapa barangan terpakai di laman jual beli termasuk mata wang lama untuk meneruskan hidup.

Ibu angkat mangsa, Zufarina Abdul Hamid didakwa menjaga mangsa dengan baik dan sering membawa mangsa berjumpa keluarga. Pada 2015, mangsa diserahkan kembali kepada Azlin dan Ridzuan dan difahamkan mula didera setahun kemudian.

Berdasarkan kronologi kes oleh pihak pendakwa raya, Ridzuan dituduh menggunakan pelayar mencubit di bahagian punggung dan paha beberapa kali pada Julai 2016. Pada Ogos 2016, Azlin dituduh memukul menggunakan penyapu di bahagian belakang badan dan kaki kerana mangsa dipercayai mencurahkan biskut di lantai.

Pada awal September 2016, Ridzuan didakwa telah menekapkan sudu panas pada tapak tangan mangsa kerana ‘mencuri’ susu tepung untuk dimakan. Mangsa juga pernah dicucuh api rokok di bahagian lengan dan dipukul menggunakan penyangkut baju pada Oktober.

Pada 15 sehingga 17 Oktober, Azlin telah menyiram menggunakan air panas sekurang-kurangnya tiga kali di bahagian kaki dan lima kali di tangan. Tertuduh berterusan menyiram mangsa dengan air panas dan pernah menumbuk di bahagian muka.

Sumber : Harian Metro , todayonline

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×