berita

Ibu Bapa Maut, 2 Beradik Terseksa Selama 12 Jam Sebelum Diselamatkan

May 11th, 2020 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Dua beradik menempuh detik hitam dalam hidup mereka selepas terpaksa menahan sakit selama 12 jam akibat dari kemalangan jalan raya sebelum diselamatkan pihak lebuh raya. Tambah menyedihkan, ibu bapa mereka yang turut terlibat dalam kemalangan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menerusi laporan Harian Metro, dua beradik yang berusia enam dan empat tahun itu dipercayai tercampak keluar dari kenderaan manakala ibu bapa mereka tersepit. Kejadian dilaporkan berlaku jam 11 malam sebelum disedari pihak lebuh raya kira-kira 12 jam kemudian.

Terbabas jauh dari lebuh raya

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar belakang sebelah kiri MPV itu pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas sejauh 100 meter ke kiri bahu jalan sebelum terlanggar pokok.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kejadian lewat disedari kerana kereta mangsa terbabas jauh dari lebuh raya. Kedua-dua mangsa yang disahkan maut dipercayai tersepit selepas melanggar pokok. Dua beradik tersebut telah dibawa ke Hospital Kulai untuk pemeriksaan lanjut.

Bomba keluarkan mangsa tersepit

Bomba menggunakan peralatan RTA bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 12.21 tengah hari.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Bomba Kanan, Bakhtiar Selamat memberitahu bahawa pihaknya menerima laporan jam 10.53 pagi sebelum 2 jentera bomba termasuk sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) telah bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mayat kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan jam 11.15 pagi.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×