berita

Ibu Cekik & Tekup Muka Bayi Sampai Mati Lepas Bermalam Dengan Kekasih

January 19th, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Seorang wanita bersama teman lelakinya ditahan polis selepas disyaki mencekik dan menekup anaknya berusia satu tahun enam bulan dengan bantal sehingga mangsa berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia.

Cekik, tekup muka anak kandung

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Kosmo, kejadian tersebut dipercayai berlaku selepas suspek wanita berusia 20 tahun bermalam bersama kekasihnya di sebuah kondominium di Cyberjaya pada 12 Januari lalu. Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, suspek wanita yang juga merupakan ibu kandung mangsa telah membawa anak lelakinya dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital.

Hasil pemeriksaan awal, doktor berkenaan mendapati ada pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang berkemungkinan disebabkan oleh penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Cyberjaya selepas tiga hari menerima rawatan. Selepas menerima laporan mengenai kematian mangsa, pihak polis cuba menghubungi wanita berkenaan namun gagal. Mereka kemudian pergi ke alamat kediaman suspek tetapi suspek tidak ditemui. Pihak polis akhirnya berjaya menahan suspek bersama suaminya di sebuah rumah flat di Putra Perdana, Dengkil.

Teman lelaki turut ditahan

Sekadar gambar hiasan

Suspek wanita mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga. Difahamkan, suspek dan suaminya dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga. Suaminya kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana dipercayai tidak terlibat berikutan tiada di lokasi semasa kejadian berlaku.

Teman lelaki suspek yang merupakan seorang pelajar kolej berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengaku terlibat. Dia hanya hadir ke rumah yang dijadikan rumah inap berkenaan untuk bermalam dengan suspek dan semasa kejadian lelaki berkenaan telah beredar.

Hasil bedah siasat, terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan. Selain terdapat kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik.

Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka mangsa.

Suspek dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula 16 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×