Seorang wanita telah menikam anak perempuannya berusia tiga tahun sehingga mati, selepas mendakwa diarahkan berbuat demikian oleh ‘Spongebob SquarePants’.
‘Kalau tak bunuh, Spongebob bunuh saya’
Foto: New York Post
Justine Johnson, 22 tahun yang ketika itu berhalusinasi di bawah pengaruh dadah jenis heroin telah menikam anak perempuannya berusia tiga tahun sehingga mati selepas mendakwa menerima arahan daripada ‘Spongebob SquarePants’.
Dia berkata, watak siri animasi itu telah memberi amaran kepadanya bahawa dia akan mati sekiranya dia tidak mengikut arahan untuk membunuh mangsa, Sutton Mosser. Mosser ditikam beberapa kali pada 16 September, hanya dua hari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ketiga. Johnson kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam plastik sampah berwarna hitam.
Menurut penyiasat Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak, Ryan Eberline, Johnson mengaku mengalami halusinasi akibat pengambilan dadah selama berminggu-minggu yang menyebabkan dia tidak tidur selama lebih kurang dua minggu. Malah dia tidak mampu mengingati apa yang berlaku pada Mosser ketika itu.
Ketika berhalusinasi, dia mendakwa Spongebob di kaca TV telah mengarahkan dia untuk membunuh mangsa. Jika tidak, dia yang akan dibunuh. Hal itu membuatkan dia berasa takut.
Sehari sebelum kejadian, Johnson pengsan di tanah perkuburan berdekatan rumah ibunya dan apabila dia pulang semula ke rumah, dia cuba untuk membunuh diri sebelum menikam mangsa. Johnson kemudian disoal oleh adik lelakinya yang berusia 17 tahun tentang keberadaan mangsa. Namun dibalas ‘jaga tepi kain sendiri’.
Tidak lama selepas itu, remaja tersebut melaporkan penemuan plastik sampah dengan kaki kanak-kanak yang terjulur keluar kepada abangnya, lalu pihak polis dihubungi. Pemeriksaan di lokasi menemui kesan darah di pintu almari, sofa dan di dalam bilik tidur. Turut ditemui, tiga bilah pisau di dalam bilik tersebut.
Mayat mangsa yang ditemui juga mempunyai kesan tikaman di bahagian leher, perut dan dada. Mayat Mosser dibalut dengan selimut kemudian disumbat ke dalam plastik sampah bersama dengan seluar jeans yang berlumuran darah.
Johnson kini didakwa atas pembunuhan kejam dan penderaan kanak-kanak dan ditahan tanpa jaminan di penjara sementara menunggu perbicaraan di mahkamah pada 28 Februari.
Sumber: Metro UK