Pempengaruh Islamik, Iddin Ramli terpanggil untuk memberi pandangan susulan pendedahan dibuat pencipta kandungan, Iman Kamil mengenai kisahnya yang pernah mencacah tatu di tangan.

Artikel Berkaitan: Netizen Bimbang Influencer Tampil Dengan Penampilan Baru – ‘Tatu Itu Masih Baru, Masih Merah’

Ujian datang uji iman

Menerusi hantaran di TikTok, Iddin percaya setiap ujian yang dilalui manusia mempunyai tujuan tersendiri iaitu untuk menguji dan menguatkan keimanan seseorang.

Isu Iman Kamil bertatu. Rupanya dia pernah DM saya pada 2020 untuk minta pandangan dan nasihat.

Hidup kita ini memang serabut dan penuh dengan ujian. Malah dalam al-Quran menyebut, walaupun kita ini beriman tidak bermakna hidup ini bebas daripada ujian.

Lagi baik atau beriman seseorang itu, lebih banyak masalah akan datang. Apa tujuan masalah dan ujian ini? Adalah untuk mengesahkan iman dalam diri kita.

Kalau kita beriman ketika tidak diuji, senang. Tapi sebaliknya, susah sangat. Ujian datang adalah untuk melihat siapa yang betul beriman dan pura-pura beriman. Kalau berjaya mengharungi ujian itu, Allah akan bagi syurga buat kita.

Dalam masa sama, Iddin turut mengingatkan bahawa setiap ujian yang berlaku bukanlah secara kebetulan, sebaliknya telah ditentukan dengan hikmah tertentu.

Saya tidak memandang ujian itu tetapi saya pandang siapa yang ditakdirkan diuji dengan ujian itu. Tiada yang kebetulan.

Kalau rasa berat dengan sesuatu ujian, Nabi Muhammad dahulu pun terasa berat dengan ujian tersebut. Luahkan dengan orang-orang yang boleh mendengar ujian kita.

Terdahulu, Iman Kamil berkongsi kisah kehidupannya yang pernah tersasar akibat tidak kuat menghadapi ujian, sehingga mendorong dirinya mencacah tatu sebagai cara melepaskan tekanan.

Pengakuan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan wargamaya, namun ramai turut melihatnya sebagai satu bentuk kejujuran dan usaha untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Sumber: TikTok