
Pengarah dan penerbit, Erma Fatima, menyifatkan dakwaan yang mengatakan adiknya, Betty Rahmad bersikap kurang ajar ketika mengunjungi sebuah reruai di festival yang berlangsung di Singapura sebagai sesuatu tidak masuk akal.
Artikel Berkaitan: ‘Demi Allah, Saya Tak Pekik..Video Itu Tak Berasas & Timbulkan Fitnah’ – Betty Rahmad
Erma Fatima – ‘Ada suruh saya saman’
Erma atau nama lengkap Fatimah Rahmad Ali, 51, berkata, dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan mengenai dakwaan tersebut yang kini tular di media sosial.
Saya ada mesej Betty dan cakap ‘wow, you so famous sekarang’. Dia jawab ‘aku pun tak tahu apa salah aku’. Bagi saya, kalau dia buat benda itu, memang tak waraslah.
Pergi ke booth orang dan jerit pada pekerja, bagi saya memang tak logik. Bukan sebab dia adik saya, tetapi rasanya perkara itu tak masuk akal langsung.
Erma berkata demikian ketika ditemui di majlis Together Gather anjuran Viu Malaysia yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.
Tambah Erma, isu tersebut seolah-olah diperbesar-besarkan sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap Betty, apatah lagi berlaku dalam bulan Ramadan.
Apabila dihebohkan dan digembar-gemburkan seolah-olah dia buat dosa besar, tambahan pula dalam bulan Ramadan, benda itu jadi macam tak kena.
Mengulas mengenai namanya yang turut terheret dalam isu tersebut, Erma menjelaskan dia memilih untuk tidak melayan individu yang mencetuskan sensasi berkenaan.
Individu itu saya tak tahu siapa, asal-usul pun saya tak tahu. Sebab itu saya tak mahu beri apa-apa kenyataan atau komen. Ada yang suruh saya saman, tetapi bagi saya tak berbaloi.
Pada pendapat saya, dia bukan setaraf saya untuk saya bercakap mengenai dia. Maaf kalau bunyi kasar, tetapi dialah yang sepatutnya belajar adab.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan seorang individu mendakwa Betty bersikap biadab terhadap pekerja di sebuah reruai ketika sebuah acara festival berlangsung.
Menerusi satu hantaran di TikTok, individu tersebut mendakwa usahawan berkenaan telah meninggikan suara terhadap pekerja reruai itu ketika situasi sedang sibuk melayan pelanggan.
Individu terbabit turut menyuarakan rasa tidak puas hati dan menegaskan tiada siapa berhak melayan pekerja dengan cara sedemikian walaupun bergelar selebriti.
Bagaimanapun, Betty menerusi satu siaran langsung di TikTok tampil menafikan dakwaan dirinya bersikap biadab seperti yang tular, namun tetap mengambil pendekatan matang dengan memohon maaf.