Pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz, melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025.

‘Ini satu penghargaan terbersar’

Pemilik nama Aaron Mustapha Aziz ini menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya selain menganggap kemenangan itu sebagai satu penghormatan besar dalam karier seninya.

Aaron berkata, anugerah tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi juga sebagai satu tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Anugerah ini satu penghargaan dan penghormatan yang besar dan sangat dihargai harap dapat sumbang semula pada masyarakat jaga nama Datuk Datuk di Malaysia.

Sementara itu, Aaron bersyukur kerana telah mengenali Datuk Nor Hasnal Hashmi sejak 14 tahun lalu, yang merupakan individu penting di sebalik Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM).

Selain Aaron, Presiden KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim, antara penerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025 yang dianjurkan oleh DPDDM baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama, wartawan terkenal Syed Mohd Yusof Wafa Syed Nordin Wafa, atau lebih dikenali sebagai Syed Wafa, turut menerima Anugerah Wartawan Tinta Emas sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya dalam dunia kewartawanan.

Sepanjang kerjayanya, Syed Wafa pernah menemubual ramai selebriti antarabangsa, termasuk legenda muzik pop Michael Jackson, Mariah Carey, dan pelakon Michael J. Fox.

Majlis ini turut memberi penghormatan kepada 55 individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing, antaranya pelakon dan pengarah tersohor A.R. Badul, serta figura industri hiburan dan keusahawanan seperti Poey Sting dan Rina Eva.

Sebelum ini, DPDDM turut menyampaikan Anugerah & Watikah Usahawan Madani 2024 kepada 60 tokoh keusahawanan negara merentasi pelbagai sektor.

Aaron lebarkan sayap ke India

Selain menerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025, Aaron kini giat menjalankan tanggungjawabnya sebagai duta anti-buli. Bintang filem Sheriff: Narko Integriti itu bakal menyertai kempen kesedaran anti-buli yang akan berlangsung di sekolah-sekolah dari April hingga Jun.

Dalam perkembangan seni, Aaron turut berkongsi bahawa dirinya bakal muncul dalam beberapa filem baharu. Lebih menarik, Aaron kini melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan menjalin kerjasama bersama produksi dari India, sekali gus memperkukuhkan lagi namanya di pentas global.

Sementara itu, majlis DPDDM turut menyaksikan pemeteraian MoU antara DPDDM dan ReSkills Edtech Sdn. Bhd., disaksikan oleh YM Tengku Datuk Dr. Hishamuddin Zaizi Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi, menegaskan bahawa kerjasama strategik yang dimeterai diharap dapat meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti yang memberi manfaat kepada semua pihak agar tiada pihak yang ketinggalam dalam arus pendigitalan yang semakin pesat berkembang.

Diharap inisiatif ini juga dapat membuka lebih banyak peluang kepada belia B40 untuk meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja. Melalui kerjasama ini juga ramai pelajar dan usahawan muda dapat memperolehi kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan industri.

Selain itu, beliau turut mengumumkan potensi besar Timor Leste sebagai destinasi pelaburan dalam sektor pertanian dan tenaga hijau, dengan DPDDM komited membantu usahawan meneroka peluang ekonomi di sana.

DPDDM juga menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan dalam tempoh enam bulan melalui pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan.

Dalam usaha memperkukuh ekonomi tempatan, DPDDM bekerjasama dengan Usahacaya Urus Sdn. Bhd. untuk Projek Usahawan Vending Machines bagi membantu golongan B40.

Sementara itu, Projek Usahawan Agro Tani dengan INSKEN akan mengusahakan Halia Bentong di kawasan seluas 100 hektar menggunakan teknologi IoT di bawah jenama Halia City.