Ibu saudara kepada pelajar sekolah yang ditemui maut, Irene Sofiya iaitu Siti Nur Faeza Khyar mendedahkan mangsa bercita-cita untuk mengikut jejak langkah arwah ibunya menjadi seorang doktor.

Artikel Berkaitan: Pelajar Tingkatan Enam Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Sesi Orientasi Di Sekolah

Impian jadi doktor

Menurut Siti Nur Faeza yang juga guru subjek Biologi di Sekolah Menengah Jalan Kota Tinggi, Irene Sofiya, 16, merupakan pelajar yang cenderung dalam bidang akademik dan mempunyai prestasi yang baik dalam pelajaran.

Dia pernah bertanya dengan saya, bidang perubatan mana yang patut dia ceburi dan saya cadangkan pakar sakit puan kerana kita kekurangan doktor wanita dalam bidang itu.

Dia letak cita-cita pertama untuk jadi doktor pakar sakit puan dan kedua sebagai pakar kesihatan awam sama macam arwah ibunya.

Bagaimanapun, impian remaja berkenaan terhenti selepas dia ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, pada Sabtu.

Siti Nur Faeza berkata, dia dimaklumkan oleh rakan Irene Sofiya kira-kira jam 5 petang mengenai kehilangan anak saudaranya selepas mangsa tidak hadir ke kelas tambahan.

Katanya, dia bersama ibu yang juga nenek kepada mangsa serta rakan sekelas Irene Sofiya kemudian bergegas ke sekolah untuk mencarinya sebelum mangsa ditemukan terbaring di atas lantai dewan oleh rakannya.

Arwah terbaring dengan darah merata-rata di atas lantai, masa itu (ketika ditemui) dia masih bernyawa, ada respons dengan angkat tangan dan mengeliat.

Namun, selepas saya telefon kecemasan, kemudian ambulans dan polis sampai, arwah sudah tidak ada (meninggal dunia) apabila diperiksa nadi dan tangan pun sudah mula sejuk.

Siti Nur Faeza berkata, kejadian tragis itu mengejutkan seluruh ahli keluarganya dan berharap individu yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

Sementara itu, guru mangsa yang pernah mengajarnya berkata, Irene Sofiya merupakan seorang pelajar yang rajin dan pintar.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman selama enam hari bermula Ahad bagi membantu siasatan kes bunuh pelajar berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, dilaporkan berkata suspek ditahan kira-kira jam 7 malam di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Sumber: Berita Alhijrah