
Pelakon, Irfan Zaini, meluahkan hasrat untuk mencabar diri dengan membawa watak lebih kompleks dalam karya akan datang, termasuk watak lelaki lembut.
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Minum, Tolong Jangan Memandu Tapi Nasihat Saya Boleh Ambil Grab’ – Irfan Zaini
Artikel Berkaitan: Irfan Zaini Bangga Jadi Sebahagian Filem Terakhir Vijay, Lapan Kali Terbang Ke India Cari Peluang – ‘Duit Simpanan Saya Habis’
Irfan Zaini nak cuba watak pondan
Ketika ditemui OhBulan!, Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31, menjelaskan bahawa ia merupakan salah satu usaha untuk keluar daripada zon selesa serta membuktikan kemampuannya sebagai pelakon serba boleh.
Mungkin pelik, tapi saya nak cuba watak lelaki lembut atau pondan. Sebab watak tu susah dan saya rasa tak ada orang akan percaya saya boleh buat watak itu.
Sebagai pelakon saya dah buat macam-macam watak termasuk aksi, antagonis, romantik dan seterusnya mungkin untuk jadi watak mencabar seperti orang lembut, psiko atau autisme.
Watak-watak susah seperti itu bermaksud pelakon tak boleh hanya berlakon tetapi kena hidup dengan watak tu.
Irfan berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi drama Luka Di Hujung Setia yang diadakan di Lobi Galeri Prima Balai Berita, Petaling Jaya pada Rabu.
Nak cabar diri, keluar dari zon selesa
Sementara itu, pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga ini tidak menafikan bahawa watak sedemikian agak sensitif dan berpotensi menerima kecaman.
Namun, sebagai pelakon, dia mengakui tidak dapat lari daripada kritikan, sebaliknya memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut.
Dalam dunia seni mesti ada kecam dan puji. Kalau kita ambil pusing semua benda, susah. Saya fokus pada kerja saya sahaja.
Mengulas lanjut, Irfan berkata watak tersebut bukan sekadar peranan biasa, sebaliknya adalah cabaran untuk menguji kemampuan dan versatilitinya sebagai anak seni.
Saya terfikir watak apa yang paling susah dan penonton tak akan percaya saya boleh bawa.
Watak psiko pun okay sebab tahap antagonis yang paling tinggi. Kalau watak lelaki lembut ni banyak pergerakan, cara cakap, dan suara pun kena berubah.
Saya tengok pelakon hebat luar negara boleh buat, jadi kenapa saya tidak? Benda tu realiti, memang wujud dalam masyarakat kita.
Malah, Irfan turut mengakui dia tidak kisah sekiranya penampilannya perlu diubah demi tuntutan watak, termasuk mencukur jambang.