berita

Irma Hasmie Mahu Bawa Anak Solat Tarawih

July 9th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Irma Hasmie & Suami

Sudah memasuki Ramadhan kedua bersama suami, Redza Syah Azmeer, nampaknya Ramadhan kali ini bakal memberikan pengalaman berbeza buat Irma Hasmie. Pelakon ini bakal menyambut bulan yang mulia ini bersama ahli baru dalam keluarga mereka iaitu Redza Syah Irfhan.

Irma ketika ditemui di majlis sidang media Baby & Raya Expo 2013 di PWTC semalam menjelaskan bahawa dia mahu mencuba untuk membawa anak sulung mereka yang baru berusia 3 bulan lebih itu ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih.

“Saya mahu cuba bawa Irfhan pergi masjid. Kalau dia tak menangis di masjid, saya akan bawa dia selalu.

“Dari segi masa, baby memang ok sebab dia bangun around 7 pagi dan tidur dalam jam 10 malam.”

Pelancaran Baby & Raya Expo 2013-12

Antara sebab utama Irma mahu membawa Irfhan ke masjid juga adalah disebabkan bayinya itu yang masih menyusu.

“Irfhan menyusu badan jadi saya memang tak boleh tinggalkan dia lama-lama. Sebab tu juga saya tak ambil tawaran berlakon buat masa ni. Sebab nanti kalau dah sibuk di set penggambaran memang susah.

“Lagipun Irfhan kecil lagi, tunggulah dia besar sikit. InsyaAllah kalau ada tawaran berlakon pada masa akan datang, saya akan pertimbangkan.”

Untuk pengetahuan, Redza Syah Irfhan telah dilahirkan melalui kaedah pembedahan pada 29 Mac yang lepas.

Dalam pada itu, Irma kini sedang menceburi bidang perniagaan tekstil dan cubaannya menjual 2 jenis jubah rekaannya telah menarik perhatian peminat dan tidak sampai 2 minggu saja stok telah hampir habis dijual.

“Alhamdulillah first batch memang dapat sambutan yang hangat untuk dua minggu pertama. Pakaian yang dijual adalah campuran dress dan jubah hampir seperti Maxi.”

Bagi anda yang berminat, mungkin boleh cuba layari laman Instagram Irma Hasmie atau pun laman Facebooknya. Mari lihat beberapa keping foto Irma bersama suami dan anak selepas ini ya!