
Penyanyi dan penulis lirik, Ismail Izzani kini kembali dengan single terbaharunya berjudul One On One, sekaligus membuka sebuah perjalanan untuk album penuhnya yang dijangkakan bakal menemui peminat pada tahun ini.
Artikel Berkaitan: Ismail Izzani Buka Akaun Threads Atas Galakan Kawan – ‘Kalau Komen Itu Toksik, Saya Tak Layan’
Lagu baharu

Lagu terbitan Universal Music Malaysia dan hasil ciptaan Alyph itu bertemakan cinta yang sederhana tetapi penuh makna.
Menurut Ismail, single ini berkisarkan tentang keinginan untuk meluangkan masa bersama insan yang paling disayangi tanpa gangguan dunia luar.
Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar-benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya, walaupun hanya untuk seketika.
Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua.
One On One menyaksikan hasil kolaborasi sekali lagi antara Ismail dan Alyph. Bagaimanapun, penyanyi berusia 26 tahun itu menyifatkan proses pembikinan kali ini lebih bermakna kerana mereka mempunyai ruang dan masa yang lebih panjang untuk mengembangkan idea secara semula jadi.
Menurut Ismail, setiap sesi di studio bukan sekadar tertumpu kepada muzik semata-mata, sebaliknya dipenuhi dengan pelbagai perbualan mengenai kehidupan yang membantu mewujudkan suasana lebih selesa dan jujur ketika berkarya.
Saya tak mahu orang membandingkan lagu ini dengan karya-karya saya sebelum ini. Setiap lagu mempunyai cerita dan tempatnya yang tersendiri.
Bagi saya, One On One adalah permulaan kepada fasa baharu. Ia memberi gambaran tentang vibe dan arah muzik yang saya ingin bawakan menerusi album akan datang.
Tambahnya lagi, lagu berkenaan mempunyai nilai sentimental kerana menjadi karya pertama yang dipilih untuk dimuatkan dalam album baharunya.
Dalam masa sama, Ismail berharap peminat dapat menerima perubahan dan evolusi muzik yang dibawakannya, selain terus memberi sokongan.
Saya harap semua orang boleh rasa vibe lagu ini dan menikmatinya.
Saya juga harap mereka terus bersabar kerana saya dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk menyiapkan album ini. Insya-Allah, banyak perkara menarik sedang menanti.
Untuk info, One On One kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.








