
Pelakon, Zul Ariffin berpendapat aktor mahupun aktres berhak berbincang dengan pihak produksi serta pengarah mengenai sesuatu babak yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Artikel Berkaitan: ‘Dari Pinggang Saiz 36 Jadi 31, Berat Turun 23 Kg’ – Zul Ariffin Berkorban Demi Watak
Pelakon ada hak
Zul, 39, berkta, pengalaman berdepan kontroversi berkaitan kandungan lakonannya sebelum ini mengajarnya supaya tidak lagi sekadar menerima dan menurut apa sahaja yang ditulis dalam skrip tanpa berbincang terlebih dahulu.
Kita berlakon dan faham erti kolaborasi. Kalau tidak, akan jadi dungu dan hanya mengikut. Kalau apa-apa berlaku, mereka akan ‘throw you under the bus’. Jadi, untuk lebih selamat, saya belajar perkara itu dengan cara yang sukar.
Zul berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telemovie Takdirnya Cinta terbitan UTV yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.
Jawapan itu diberikan sebagai respon kepada isu membabitkan sebuah drama bersiri yang dihentikan sementara tayangannya baru-baru ini.
Bercerita lanjut, aktor kelahiran Perak itu berkata, pengalaman lalu membuatkan dia kini lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu tawaran atau melakukan babak yang terkandung dalam skrip.
Saya dah melalui. Jadi, saya tidak akan meletakkan diri lagi dalam kedudukan yang membuatkan saya hanya menurut dan mengangguk terhadap apa sahaja yang mereka suruh atau apa yang ditulis dalam skrip. Tidak lagi.
Saya tiada pilihan lain. Saya kena minta maaf (ketika itu). Jadi, saya nak tutup benda itu dan teruskan hidup.
Pengajaran
Bagaimanapun, Zul menegaskan kenyataannya itu bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahu berkongsi pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman sendiri.
Saya bukan nak menuding kepada sesiapa. Tetapi kalau perkara itu terjadi lagi pada masa hadapan, berhati-hatilah. Ia tidak berbaloi. Ini hanya kerja, bukannya perkara hidup dan mati.
Dalam pada itu, Zul menyambut baik tindakan yang diambil terhadap kandungan yang mencetuskan kontroversi.
Kalau ada tindakan, baguslah. Sekurangnya ada tindakan. Cuma banyak juga perkara berlaku sebelum ini, tidak ada tindakan pun. Mungkin tindakan itu diambil secara bermusim atau mengikut orang tertentu, tetapi saya tidak tahu.
Terdahulu, Zul pernah mencetuskan kontroversi pada 2022 selepas berkongsi sedutan babak sebuah drama bersiri yang dianggap keterlaluan sehingga mengundang kecaman ramai.
Dia kemudian memohon maaf dan berjanji untuk lebih berhati-hati sebelum didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang di media sosial.
Baru-baru ini, platform penstriman iQIYI turut menurunkan sementara enam episod drama Madu atau Racun, manakala baki episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting dan dinilai semula.