Semalam kita dikejutkan dengan satu berita kematian melibatkan seorang pelajar di sebuah universiti yang dipercayai terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Kampung Baru.
Difahamkan mangsa yang bernama Adly Zarkasyi Alzafry terjatuh kerana mahu mengambil sehelai baju kepunyaannya yang tersangkut di balkoni.
Artikel Berkaitan: Pelajar Universiti Maut Terjatuh Dari Tingkat 34
‘Nak ambil baju kegemaran’
Terbaharu, bapa saudara kepada mangsa, Taufik Mohd Zain menjelaskan bahawa baju yang cuba diambil anak saudaranya itu merupakan baju kegemarannya yang baru sahaja dibeli.
Itu baju kegemarannya yang baru dibeli, rakan beritahu dia nak bawa baju itu pulang ke kampung.
Menurut Taufik, dia mendapat berita mengenai kejadian menimpa Allahyarham Adly melalui panggilan telefon ahli keluarganya yang lain.
Tambah Taufik lagi, mangsa yang sepatutnya pulang ke Perlis bersama ahli keluarga yang lain terpaksa menangguhkan perjalanannya selama satu hari kerana perlu menghadirkan diri ke kelas di universitinya.
Ketika itu, saya berada di rumah di Perlis. Terkejut apabila diberitahu anak saudara terjatuh bangunan lalu saya minta anak saya yang berada di Kuala Lumpur untuk ke kondominium berkenaan.
Kebetulan keluarga Kasyi (Adly Zarkasyi) baru tiba di Perlis petang semalam. Dia tidak dapat ikut keluarganya kerana masih ada kelas dan sepatutnya dia pulang ke kampung menaiki bas esok.
Tapi tak sangka pula kejadian ini berlaku, menjadi asbab kematiannya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya memaklumkan bahawa pihak mereka ada menerima laporan mengenai kejadian sekitar jam 8.17 malam.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur bagi proses bedah siasat.
Sumber: Harian Metro