Datuk M. Nasir

Satu lagi kejayaan dilakar dalam lipatan sejarah industri seni tanah air apabila penghibur prolifik, Datuk M. Nasir menjadi penyanyi sulung yang menganjurkan konsert bertemakan Aidilfitri menerusi Konsert Datuk M. N46IR Cipta Raya.

Artikel Berkaitan: Merinding! Konsert Gendang Pati Sifu M. Nasir Buat Penonton Bagai ‘Dirasuk’ Roh Nusantara

Artikel Berkaitan: M Nasir Enggan Ulas Isu Lirik Lagu ‘Nur Nilam Sari’ Ditukar Kepada ‘Pinjam Seratus Nur Nilam Sari’

M. N46IR Cipta Raya

Datuk M. Nasir

Konsert Datuk M. N46IR Cipta Raya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad lalu itu dihadiri lebih 2,000 penonton yang hampir kesemuanya mengenakan baju raya.

Mendendangkan 20 buah lagu yang mana 17 daripadanya merupakan hasil ciptaan M. Nasir manakala tiga lagi merupakan lagu raya klasik yang mengimbau nostalgia era tahun 50-an dan 60-an.

Antara lagu yang disampaikan oleh penyanyi tersohor itu adalah, Salam Dunia, Satu Hari Di Hari Raya, Hari Raya Hari Bahagia, Raya Yang Sempurna, Halaman Asmara, Raya Sedondon dan Selamat Hari Raya (nyanyian Al-Jawaher).

Tiga lagu raya klasik yang disampaikan pula adalah Suara Takbir (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee), Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein berjudul Selamat Hari Lebaran.

Selain lagu raya, penyanyi berusia 67 tahun itu turut menyampaikan beberapa untaian lagu malar segar miliknya iaitu Hati Emas, Raikan Cinta, Phoenix Bangkit Dari Abu, Sahabat Gua, Apokalips dan Suatu Masa.

Duit Raya

Datuk M. Nasir

Ketika lagu Halaman Asmara nyanyian asal Datuk Awie dan Ziana Zain disampaikan, salah seorang penonton bertuah yang menggelar dirinya Puteri diberikan peluang untuk naik ke pentas dan berduet dengan M. Nasir.

Sementara itu, M. Nasir dalam ucapan ringkasnya berharap konsert sedemikian akan dijadikan budaya dan dianjurkan setiap tahun bagi meraikan bulan Syawal.

Saya harap konsert seperti ini dijadikan budaya. Setiap hari raya akan ada konsert besar.

Lebih menyeronokkan lagi, sebelum konsert bermula, pihak penganjur selaku tuan rumah iaitu Icon Entertainment turut menghidangkan aneka juadah Syawal termasuk lemang, ketupat, rendang, sate serta kuih muih untuk penonton.

Selain perut kenyang dan dihiburkan dengan persembahan memukau, penonton juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila mereka diberikan duit raya. Jumlah duit raya yang diberikan bermula dengan RM5, RM10 dan yang bertuah mendapat RM50.

Namun, pemberian duit raya kali ini sedikit berbeza dengan Konsert Datuk M. N46IR Cipta 2 yang berlangsung pada Oktober lalu kerana sampul duit raya diletakkan di bawah kerusi penonton.