Penyanyi dan pelakon remaja, Alyssa Dezek akui perjalanan persiapan menjelang hari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak semudah yang disangka.

Artikel Berkaitan: Alyssa Dezek Raih ‘Straight A’ SPM 2025, Buktikan Kejayaan Akademik & Kerjaya Seni

Artikel Berkaitan: Cik B Hadiah Kasut Untuk Alyssa Dezek – ‘Bangga Ada Kawan Raih SPM 9A’

Persiapan SPM

Ketika ditemui OhBulan!, Alyssa atau nama penuhnya Aryanna Alyssa Mohamed Hafidz mendedahkan perkara yang dikorbankan sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

Bagaimanapun, Alyssa percaya semuanya adalah atas izin Allah selain daripada usaha dan doa daripada diri sendiri.

Sepanjang tahun itu, saya kurangkan aktiviti berlakon. Cuma ada beberapa kempen dan penggambaran saya ambil.

Saya kurangkan main media sosial dan permainan video. Jika ada waktu lapang masa penggambaran, saya akan ulang kaji pelajaran.

Apa yang boleh saya katakan, ini rezeki kurniaan Allah selepas usaha dan doa.

Alyssa berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Jamuan Raya yang berlangsung di SugarCandy Event Space, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Alyssa turut berkongsi bahawa dia mengamalkan pemakanan sihat seperti buah-buahan dan kismis sepanjang tempoh persediaan menghadapi SPM sebagai salah satu usaha untuk menjaga kecerdasan minda.

Saya banyak makan buah-buahan, selain amalkan pengambilan kismis untuk kuatkan akal. Itu juga menjadi saranan mak dan ayah saya.

Utamakan pendidikan

Berkongsi lebih lanjut, Alyssa menegaskan kepentingan ilmu pada seseorang individu yang bergelar pempengaruh agar dapat menjadi contoh kepada orang ramai.

Pelajaran menjamin masa depan. Ada orang kata SPM ini sekadar permulaan, perjalanan masih jauh. Itu menunjukkan menimba ilmu ini tidak akan pernah habis.

Tiada masalah nak jadi artis atau pempengaruh, tapi jadilah yang berilmu dan beradab supaya dapat menggunakan platform itu untuk mengajak ke arah kebaikan.

Jadilah orang yang bermanfaat kepada masyarakat.

Selain itu, Alyssa memaklumkan bakal menyambung pengajian dalam bidang perniagaan atau akauntan yang masih dalam perbincangan bersama ibu bapanya.