![[VIDEO] Jaja Ishak Syukur Terima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA Madani, Sentiasa Pegang Pesanan Ibu Bapa Untuk Terus Memberi](https://asset.ohbulan.com/2025/11/jaja.jpg)
Penerbit Jaja Ishak menerima pengiktirafan selepas syarikat produksinya, Jaja Ishak Channel (JIC) diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024-2025, pada malam Rabu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tak Kira Busker Atau Profesional, Jaja Ishak Cari 12 Penyanyi Berbakat
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hadie Elfardie Terima Tawaran Berlakon Jaja Ishak, Ina Naim Pantau Dengan Syarat – ‘Tiada Adegan Datangkan Fitnah’
Usaha selama 10 tahun
Menurut Jaja, dia bersyukur kerana usaha kerasnya selama 10 tahun yang bermula hanya sebagai anak peneroka kelapa sawit akhirnya membuahkan hasil.
Ujarnya, kategori tersebut merupakan anugerah baharu yang diperkenalkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengiktiraf usahawan yang kembali memberi sumbangan kepada masyarakat.
Alhamdulillah syarikat kami JIC terpilih sebagai pemenang. Sudah tentu saya sangat gembira dan terharu kerana perjalanan membangunkan syarikat ini bukan sesuatu yang mudah.
Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Mak dan ayah bekerja sebagai peneroka kelapa sawit.
Saya masih ingat masa nak sambung belajar ke universiti, kami sekeluarga kutip buah sawit relai dan angkat pelepah kelapa sawit di ladang.
Anugerah itu disampaikan ketika Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Acara itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.
Selain Jaja, Pengurus JIC, Didi Zakil, turut hadir untuk menerima anugerah tersebut.
Ingat pesanan ibu bapa
Tambah Jaja, dia sentiasa mengingati pesanan ibu bapanya agar konsisten memberi, tidak kira besar atau kecil sumbangan itu.
Mak dan ayah selalu pesan, tak semestinya bila kita dapat duit banyak, kita kena beri banyak.
Kalau ada sikit, beri sikit. Apa yang penting, sentiasa memberi dan istiqamah.
Dalam pada itu, Jaja mendedahkan bahawa dia pernah menghadapi pengalaman pahit apabila dikejar oleh pegawai bank dan pelabur ketika masih dalam proses pembelajaran.
Kalau diberi pilihan antara berniaga atau makan gaji, saya lebih sanggup makan gaji sebab saya pernah berada di titik paling bawah.
Saya pernah tiada duit sampai dikejar pegawai bank, pelabur dan rakan-rakan sebab tak tahu pasang surut dalam industri kreatif ketika itu.
Kadang-kadang tawaran kerja tak menentu. Tetapi, alhamdulillah MARA datang membantu dan beri dorongan untuk saya bangkit semula.
Sebenarnya bila kita susah, masih ada ruang untuk bertemu rakan-rakan dan agensi kerajaan yang sudi membantu.
JIC antara 24 usahawan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang dinobatkan sebagai penerima AURA di peringkat negeri.
Menerusi Aura, sebanyak 12 kategori dipertandingkan antaranya Anugerah Tokoh Usahawan MARA, Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA, Anugerah Jenama Terbaik, Anugerah Usahawan Aspirasi Wanita dan Anugerah Program Khas Usahawan.