

Pelakon veteran, Jalil Hamid meluahkan rasa syukur apabila akhirnya berjaya menghubungi isterinya yang kini berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Anak Kongsi Momen Jalil Hamid Sebak Hantar Isteri Berangkat Tunai Haji – ‘Ayah Tak Pernah Berjauhan Dengan Ibu Sejak Sakit’
Artikel Berkaitan: Jalil Hamid Terkilan Tak Dapat Tunaikan Ibadah Haji, Keadaan Kesihatan Tidak Mengizinkan – ‘Dah Lama Tunggu, Sejak 2008 Lagi’
Isteri Jalil Hamid demam

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Abdul Jalil Abdul Hamid, 69, berkata, sejak semalam dia telah beberapa kali mencuba untuk menghubungi isterinya, namun talian yang terganggu menyebabkan mereka gagal berhubung.
Malah apa yang membuatkan dia bertambah bimbang apabila mengenangkan keadaan isterinya, Haryati Sariat yang berada dalam keadaan kurang sihat.
Saya dah cuba hubungi dia dari semalam tetapi talian tidak berapa baik dan tersekat-sekat. Selepas menanti dari semalam, barulah petang tadi (semalam) saya dapat bercakap dengan dia.
Tapi saya terkejut kerana dia beritahu dia demam. Jadi saya mula susah hati dan saya berdoa supaya dia diberikan kesihatan yang baik dan cepat pulih.
Jalil berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana filem Laknat di Mid Valley, pada Isnin.
Berkongsi mengenai keadaan kesihatan isterinya, Jalil memaklumkan bahawa wanita itu menghidap penyakit ketumbuhan pada bahagian tumit kaki dan faktor keperluan berjalan jauh di kota suci sedikit sebanyak telah menjejaskan tahap kesihatannya.
Ini disebabkan dia perlu berjalan sejauh tiga kilometer dari hotel ke masjidil haram untuk menunaikan ibadah. Kebetulan, dia memang ada penyakit ketumbuhan pada bahagian pada tumit kaki.
Keadaan itu memburukkan kesakitannya.
Pelakon filem 6 Jilake itu akui selepas mendapat khabar langsung daripada isterinya, barulah dia berasa sedikit lega dan mengambil keputusan untuk menghadiri majlis tayangan perdana filem lakonannya bersama rakan-rakan artis lain.
Pada mulanya saya agak keberatan nak hadir. Tetapi selepas dapat bercakap dengan isteri dan rasa lega, saya putuskan untuk hadir malam ini (semalam).
Saya juga minta anak temankan ke majlis sebab saya tak boleh memandu.
Dalam perkembangan lain, Jalil bakal muncul menerusi filem Laknat arahan Saw Teong Hin.
Selain Jalil filem tersebut turut dibintangi pelakon lain seperti Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Amerul Affendi, Naque Ariffin, Noorkhiriah dan Mila Mohsin.
Laknat akan mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 5 Jun depan.








