berita

Jambatan Compact Bailey 100 Di Sungai Putat Kini Siap Sepenuhnya Dan Sedia Untuk Digunakan

May 10th, 2021 | by Sya Alkaf
Shout Out!

Penduduk Kampung Sungai Putat kini boleh menarik nafas lega apabila jambatan Compact Bailey 100  sudah siap sepenuhnya dan sedia digunakan hasil kepakaran serta kerjasama 60 anggota pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dari Skuadron Ke-9 RAJD, Kem Terendak, Melaka dan Skuadron Ke-11 RAJD (Mekanize), Kem Batu 3 Mentakab .

Pembinaan jambatan Compact Bailey 100 itu bagi menggantikan jambatan lama yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir sebelum diarah tutup pada 24 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keadaan jambatan berkenaan sebelum ini menyukarkan kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Putat dan kawasan sekitar ke bandar Jerantut serta ke sekolah yang terletak di Felda Padang Piol.

Sehinggakan penduduk kawasan sekitar mengambil inisiatif untuk membaiki sendiri jambatan itu dengan menggunakan batang pokok kelapa.

“Jambatan Compact Bailey 100 yang dibina adalah sepanjang 24meter (m) dan lebar lima meter dengan mengambil masa pembinaan lebih kurang 17 jam mulai 28 April 2021.

”Pemasangan Jambatan Compact Bailey 100 itu adalah salah satu usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu memulihkan laluan perhubungan penduduk kampung”

Tambahnya lagi, antara kampung yang terjejas ialah Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap. Kerosakan teruk jambatan asal di Sungai Beletir di Kampung Sungai Putat itu menyukarkan penduduk di sana kerana terputus hubungan.

Ujar Ismail Sabri, ATM melalui Tentera Darat Malaysia telah mengatur gerak anggota dan pegawai membabitkan dua pegawai serta 58 anggota RAJD dari Skuadron Ke-9 RAJD, Kem Terendak, Melaka serta Skuadron Ke-11 RAJD,(Mekanize), Kem Batu 3, Mentakab.

Kerja pemasangan jambatan yang boleh bertahan sehingga 20 tahun itu turut mendapat bantuan teknikal daripada Jabatan Kerjaraya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikoordinasi oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negeri (NADMA).

“ATM akan sentiasa bersiap sedia membantu pihak berkuasa awam dan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan di seluruh negara sebagai salah satu daripada Military Operation Other Than War (MOOTW),” katanya.

Ismail Sabri berkata, jambatan itu adalah jambatan bailey ketiga dibina ATM di Pahang yang rosak akibat banjir, selepas di Kampung Lechar, Raub dan Kampung Belimbing, Maran selain sebuah di Kampung Belum Baru, Lenggong, Perak.

Beliau ditemui ketika ketika merasmikan Pemasangan Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat, Jerantut.

Turut hadir pada majlis yang sama adalah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

SKIP THIS AD ×