Pelakon, Anna Jobling mengakui trauma untuk bermain sukan pickleball selepas terpaksa menjalani sesi penggambaran yang memakan masa sehingga 22 jam bagi drama terbaharunya, Dink! I Love You.

Artikel Berkaitan: ‘Sokongan Daripada Peminat Sangat Penting, Saya Sangat Sayang Mereka’ – Anna Jobling

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Kami Bercuti Dengan Ramai Orang, Saya Nikmati Masa Berehat’ – Anna Jobling

Trauma

Anna, 25, berkata, penggambaran babak melibatkan sukan tersebut dilakukan secara berulang kali demi memastikan hasil visual yang dipaparkan kelihatan menarik serta berkualiti di kaca televisyen.

Demi mendapatkan babak yang cantik, kami perlu menjalani penggambaran selama 22 jam tanpa henti. Saya jadi trauma sebab terpaksa melakukan perkara yang sama berulang kali.

Saya memang tidak begitu meminati sukan pickleball dan tidaklah terlalu mahir bermain. Selepas tamat penggambaran, saya langsung tidak menyentuh sukan itu selama enam bulan. Jangan ajak saya main pickleball.

Anna berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Dink! I Love You dan acara Allstars Picklebash yang berlangsung di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Walaupun berdepan jadual penggambaran yang panjang dan meletihkan, aktres itu bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang menjayakan babak berkenaan.

Memang ada rasa hendak berputus asa, tetapi tidaklah sampai menangis atau mahu berhenti penggambaran. Saya cuma terlalu penat.

Alhamdulillah, sepanjang penggambaran tiada sebarang kecederaan berlaku. Untuk mengekalkan stamina, saya banyak minum air, berehat apabila ada kesempatan dan sentiasa cuba berfikiran positif.

Anna turut menyifatkan suasana kerja yang positif di lokasi penggambaran banyak membantu dirinya dan seluruh pasukan untuk terus bersemangat meskipun keletihan.

Sudah tentu kita akan rasa letih kerana penggambaran yang panjang, tetapi apabila dikelilingi barisan pelakon, kru produksi dan pengarah yang positif serta penuh tenaga, rasa penat itu seolah-olah hilang.

Yang penting, kerja dapat diselesaikan dengan baik dan semua orang memberikan komitmen terbaik.

Selain Anna, drama terbitan UTV itu turut dibarisi pelakon seperti Arfie Shah, Aedy Ashraf, Dottie serta Juzzthin.