
Perubahan kitaran haid yang lewat sering menimbulkan tanda tanya bagi wanita sepanjang bulan Ramadan dan ianya berlaku disebabkan fasa adaptasi tubuh terhadap perubahan pola makan serta rehat yang mempengaruhi keseimbangan hormon secara perubatan.
Artikel Berkaitan: Rebut Waktu Mustajab! Ini 29 Doa Pendek Yang Boleh Dibaca Sebelum Berbuka Puasa
Artikel Berkaitan: 10 Malam Terakhir Ramadan, Peluang Terbaik Panjatkan Doa Mustajab
Kitaran haid lewat ketika Ramadan

Hormon Terkesan Akibat Perubahan Nutrisi
Apabila waktu makan beralih ke waktu sahur dan berbuka, tanpa sedar jumlah pengambilan kalori harian kita mungkin berkurangan secara drastik. Hormon estrogen dan progesteron yang mengawal kitaran haid sangat bergantung kepada kecukupan tenaga.
Jika badan tidak mendapat nutrisi atau lemak sihat yang cukup, sistem reproduksi akan dianggap ‘kurang penting’ oleh badan berbanding fungsi vital lain (seperti pernafasan dan jantung). Akibatnya, ovulasi boleh tertunda dan haid pun menjadi lewat. Jadi, bukan puasanya yang bermasalah, tetapi pola pemakanan yang tidak seimbang.
Ketidaktentuan Berat Badan Mengganggu Ovulasi
Berat badan turun atau naik mendadak disebabkan kurang makan atau kerap mengambil makanan manis semasa berbuka turut memberi kesan kepada hipotalamus.
Ini adalah bahagian otak yang bertindak sebagai pusat kawalan hormon reproduksi. Sebarang perubahan berat badan yang ketara dalam masa singkat boleh mengganggu isyarat otak, sekali gus menyebabkan kitaran haid lari daripada jadual asal.
Waktu Tidur yang Tidak Menentu
Bangun untuk sahur dan menjalankan ibadah malam sering kali mengurangkan waktu tidur kita. Kekurangan rehat bukan sahaja meletihkan, malah menjejaskan pengeluaran hormon melatonin dan kortisol.
Kualiti tidur yang merosot dalam tempoh sebulan boleh menyebabkan ‘jam biologi’ badan terganggu, yang secara tidak langsung menyebabkan kitaran menstruasi berganjak.
Normal ke jika kitaran haid tak menentu?

Tekanan Fizikal (Physical Stress)
Walaupun puasa selamat bagi wanita sihat, tubuh tetap mengalami tekanan fizikal semasa menyesuaikan diri dengan jadual baharu. Jika kekal aktif dengan aktiviti berat tanpa pengurusan tenaga yang baik, badan akan merasa penat yang melampau.
Tekanan fizikal ini boleh memberi isyarat kepada badan untuk menunda fungsi reproduksi buat sementara waktu.
Kitaran haid yang normal adalah antara 21 hingga 35 hari. Jika haid lewat hanya beberapa hari ketika Ramadan dan kembali normal pada bulan Syawal, ia biasanya dianggap sebagai proses adaptasi badan yang biasa.
Bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor sekiranya haid lewat melebihi tempoh dua minggu atau jika keadaan tersebut disertai dengan kesakitan senggugut yang teramat sangat serta pendarahan yang tidak normal.
Pemeriksaan perubatan ini juga penting bagi memastikan punca sebenar keterlambatan tersebut, sama ada untuk menolak kemungkinan kehamilan ataupun mengesan gangguan kesihatan lain seperti masalah tiroid dan sindrom ovari polikistik (PCOS).
Kesimpulannya, puasa tidak merosakkan sistem dalaman anda. Apa yang berlaku adalah tindak balas badan terhadap perubahan gaya hidup.
Dengan menjaga pemakanan yang berkhasiat semasa sahur dan berbuka, serta memastikan tidur yang cukup, kitaran haid akan kekal stabil.
Sumber: IDN Times








