Rumah terbuka atau open house sudah sinonim dengan kita apabila menjelangnya Syawal. Kalau tidak ada open house, rasa tidak lengkap raya kita, kan? Masa open house juga kita mengambil kesempatan mengeratkan hubungan bersama kenalan lama dan sanak saudara jauh. Segelintir daripada kita juga memilih hotel, dewan ataupun adakan majlis di rumah sendiri saja.
Tidak kiralah di mana pun open house diadakan, sebagai tetamu yang mengunjungi sesebuah rumah perlulah menjaga adab ketika pergi open house tau. Setiap tingkah laku kita kan mencerminkan sifat keperibadian diri kita. Jadi, jangan rumah open house tu macam di rumah sendiri pula ye.
Pilih masa yang sesuai
Bila tiba Syawal saja mesti banyak jemputan open house yang kita dapat, kan? Kadang-kadang itu sehari sampai 3 hingga 5 jemputan. Malah, sebuah rumah pula kita menghabiskan beberapa jam untuk sesi berborak sambil menjamu selera.
Tapi anda perlu dan memahami perasaan tuan rumah juga. Janganlah sampai melepak di rumah orang sampai 2 hingga 3 jam. Mereka juga ada tetamu lain untuk dilayan dan mencari masa untuk berehat. Dan janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari mahupun larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu tuan rumah hendak berehat.
Adab bersalaman dengan tuan rumah
Dah sampai di rumah yang kita tujui itu, jangan lupa adab bersalam-salaman dan berjabat tangan dengan tuan rumah ye. Kena jaga batas antara lelaki dan perempuan. Janganlah pula kita bersalaman dan bergaul bebas dengan yang bukan mahram.
Pergaulan bebas serta percampuran secara melampau antara lelaki dan perempuan boleh mengundang niat acara yang asalnya untuk mendapat rahmat Allah bertukar menjadi majlis yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
Jangan makan gelojoh di rumah terbuka
Sebagai tetamu, seboleh-bolehnya kita menjaga adab terutama ketika mengambil juadah yang dihidangkan di atas meja. Cuba elakkan makan dengan tamak dan gelojoh di rumah terbuka dan nikmati juadah bersederhana. Janganlah pula kita habiskan semua makanan yang disediakan tuan rumah tau! Nanti tak dapat pula tetamu lain nak merasai air tangan tuan rumah.
Ingat, pergi ke meja makan setelah dijemput tuan rumah ye. Jangan tebal muka makan tanpa dijemput. Menjaga adab bertamu penting agar tidak tercemar dan dapat menjaga imej kita sebagai tetamu serta disenangi oleh tuan rumah.
Jangan ‘membawang’ tau!
Elakkan dari menjadikan rumah terbuka sebagai tempat untuk mengumpat mengenai keburukkan orang lain. Selepas pulang dari rumah terbuka pula janganlah membanding-bandingkan kelebihan dan kekurangan di setiap rumah yang korang kunjungi. Sama ada dari segi layanan, kemewahan, perhiasan atau makanan yang dihidangkan. Namun sebagai tetamu, kita haruslah bersyukur dengan apa yang tuan rumah sediakan.
Manfaatkan sebaik-baiknya masa korang di hari mulia dengan bercakap perkara yang baik tanpa berprasangka buruk terhadap orang lain ye.
Menjaga pemakaian dan aurat
Pakailah busana yang bersesuaian dan selesa dan elakkan dari memakai pakaian yang tidak menutup aurat, menjolok mata sehingga mengundang perasaan tidak selesa kepada tuan rumah dan para tetamu lain. Janganlah pula korang pakai baju yang terlalu ketat, koyak atau T-shirt biasa. Begitu juga dengan seluar. Jangan pula pakai seluar pendek atau terkoyak sana sini ye.
Semua adab ni amat penting bagi kita sebagai tetamu untuk meraikan Syawal dan memenuhi jemputan open house. Elakkan dari melakukan perkara-perkara ini untuk mewujudkan suasana harmoni di hari raya korang nanti ye.