berita

‘Jangan Turuti Kemahuan Mereka’ – Doktor Kongsi Tips Tangani Anak Tantrum

July 16th, 2019 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Sebagai ibu bapa, tidak senang untuk menangani kerenah anak kecil yang meragam apabila kemahuan mereka tidak dipenuhi. Tambah kerenah tersebut berlaku di tempat awam, pasti naik pening korang nak berfikir tentang situasi tersebut. Betul tak?

Menerusi Facebook Dr Kamarul Ariffin, dia kongsi tips cara menangani perilaku anak yang tantrum di tempat awam.

Cara anak-anak mengambil perhatian

Sekadar gambar hiasan

Ramai ibu bapa tak tahu cara tangani perilaku anak-anak. Mereka tak tahu apa perlu dilakukan, terutamanya bila anak tunjuk tantrum ketika di tempat awam, atau di majlis keramaian.

Tantrum adalah cara anak-anak mengambil perhatian kita, dan memberitahu bahawa mereka mahukan sesuatu. Oleh kerana mereka tak tahu cara yang sesuai, sebilangan anak-anak menggunakan cara ganas, atau sering disebut sebagai menunjuk perasaan. Ada yang menangis berguling-guling di lantai, menjerit-jerit hingga tegang urat leher, menghentak barangan, malah ada yang memukul ibubapa serta diri sendiri.

Jangan marah

Sekadar gambar hiasan

Dalam keadaan begini, anak tidak akan dengar apa yang anda marahi dan nasihat padanya kerana emosi dah pemikirannya pada masa itu adalah tidak rasional. Anda harus kekal tenang. Jika anda turut naik marah, maka anak-anak ini mendapat signal bahawa emosi marah ini adalah cara yang betul untuk meminta. Yalah, ibubapa mahu anak hentikan tantrum dan cara yang digunakan untuk sampaikan mesej itu adalah melalui marah.

Jika kita perasan, ia tak beza daripada kelakuan anak kita tu. Dia nak sesuatu, dan dia gunakan emosi marah anda berontak. Sama, kan? Jadi tak usah marah, apatah lagi memaki atau gunakan kekerasan fizikal. Silap hari bukan anak kita ikut gunakan kekerasan fizikal ketika tantrum kelak.

Jangan turuti

Adakalanya ibu bapa malas hendak melayan kerenah tantrum anak, maka ibu bapa hanya turuti sahaja kemahuan dan permintaan anak. Hentikan amalan ini. Amalan ini akan menyebabkan anak merasakan apa yang dilakukan itu adalah perkara lazim dan efektik untuk menyampaikan dan mendapatkan kemahuan.

Mereka tak akan sedar bahawasanya memberontak itu adalah salah, dan selesa melakukannya di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Malah, amalan menuruti kemahuan anak ketika tantrum adalah sesuatu yang menggalakkan lagi anak ulang kelakuan itu. Jadi tak usah menuruti kemahuannya ketika anak sedang tantrum jika tak mahu ia menjadi sebahagian daripada keperibadiannya.

Abaikan tantrum anak

Sekadar gambar hiasan

Perkara terbaik untuk mengatasi masalah komunikasi ini adalah tak mengendahkan perlakuan tantrum anak anda dengan syarat-syarat berikut:

  • Berada di kawasan selamat
  • Tiada objek yang berbahaya
  • Anak tidak mencederakan diri

Jangan beri perhatian:

  • Jangan pandang
  • Jangan pujuk
  • Jangan bercakap dengannya.

Ini beri mesej pada anak bahawa kelakuannya tidak akan dilayan. Jika anda di rumah, tinggalkan bilik atau kawasan di mana anak sedang tantrum. Teruskan aktiviti anda sebelum itu. Namun, pastikan anak selamat. Jika anda di tempat awam, cuba bawa anak ke tempat yang kurang orang seperti di lorong antara kedai atau ke dalam kereta. Biar mereka. Biasanya, jika tak diberi perhatian, mereka akan berhenti setelah 10 minit kerana kepenatan mencuba dapatkan perhatian.

Abaikan kata orang

Sekadar gambar hiasan

Orang persekitaran akan mengkritik serta mengecam perbuatan ibubapa mengabaikan perilaku anak. Namun, ketahuilah apa yang dibuat adalah perkara terbaik buat anak. Jangan makan hati bila kawan-kawan kritik. Jangan makan hati jika emak dan mertua sindir. Jangan juga biarkan pasangan kita “kasihan” pada anak.

Lagipun orang dulu pun ada gunakan cara begini. Bila anak tantrum mereka akan kata “Kau mengaruklah situ sorang-sorang” dan kemudian buat tak tahu. Sebagai pihak ketiga (penonton) pula, tak usahlah kita berprasangka buruk pada ibubapa yang sedang mendidik anak-anak mereka. Tak perlu masuk campur dengan menawarkan untuk beri apa yang budak itu mahu, atau sibuk memburukkan ibubapa berkenaan.

Rasional

Langkah ini yang hanya boleh dilakukan setelah anak bertenang serta berhenti menunjukkan perasaan. Ketika ini emosinya dah stabil dan pemikirannya dah sedikit waras. Pada waktu ini, barulah tunjukkan empati dan kasih sayang. Peluk ada dan tanya elok-elok apa dia mahu. Beri masa anak untuk beritahu apa kemahuannya. Jika perkara yang dia minta itu tak boleh ditunaikan segera, berilah alasan yang rasional. Namun, jangan sesekali janji perkara yang tak mampu kita tunaikan.

Jika perkara yang diminta tu boleh ditunaikan segera, maka tunaikan dan perlu beritahu anak bahawa cara meminta begini adalah cara yang sihat(betul). Terakhir sekali, nasihatkan dia bahawa perilaku tantrum adalah perilaku yang tak elok dan ia tak akan membuatkan kemahuannya ditunaikan.

Semoga bermanfaat! Semoga dipermudahkan urusan ibubapa dalam mendidik anak-anak!

Sumber: Dr Kamarul Ariffin