
Pelakon Datin Intan Najuwa berkongsi pandangan tentang jarak kehamilan cahaya mata kedua selepas melahirkan anak sulungnya secara pembedahan (Caesarean/C-section) dalam tempoh kurang dari dua tahun.
Artikel Berkaitan: Intan Najuwa Alami Alahan Teruk Trimester Pertama – ‘Mual & Migrain Setiap Hari..Tak Boleh Hidu Bau Makanan, Nasi’
Artikel Berkaitan: Intan Najuwa Umum Hamil Anak Kedua – ‘Lunara Bakal Jadi Kakak’
Hamil anak kedua
Menerusi hantaran di Instagram, Intan memuat naik soalan daripada salah seorang pengikutnya berhubung kehamilan kedua selepas dia menjalani prosedur bersalin tersebut untuk anak pertama.
Gap tak sampai dua tahun selepas czer, doktor tak tegur?
Saya plan nak hamil anak kedua tapi doktor nasihat jarakkan dua tahun.
Menjawab persoalan tersebut, Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 29, berkata, setiap individu perlu mendapatkan pandangan doktor masing-masing serta peka terhadap keadaan tubuh badan sendiri sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kehamilan.
Ikut nasihat doktor awak sendiri dan ambil tahu tentang tubuh badan awak. Jangan ikut saya.
Saya sentiasa akan percaya pada nasihat doktor saya dan tubuh badan saya sendiri, bukan orang lain.
Menurut Intan, selepas enam bulan bersalin, keadaan dirinya sudah pulih sepenuhnya, sekaligus membolehkan dia untuk kembali aktif selain, sudah bersedia untuk melalui kehamilan seterusnya.
Saya masih bersama doktor yang sama yang menguruskan kehamilan saya, melakukan pembedahan C-section saya, merawat jahitan dan membimbing saya sepanjang proses pemulihan.
Selepas enam bulan, pemulihan dan penyembuhan dalaman saya sudah sempurna.
Ketika itu saya sudah kembali aktif bersenam dan melakukan senaman Pilates, dan ya, badan saya sudah bersedia untuk hamil lagi.
Bagaimanapun, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu menegaskan bahawa setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan proses pemulihan yang berbeza.
Justeru mereka tidak seharusnya menjadikan pengalamannya sebagai rujukan utama, sebaliknya perlu mendapatkan nasihat daripada doktor.
Tetapi sekali lagi, jangan ikut saya dan sentiasalah ikut nasihat doktor awak sendiri.
Terdahulu, sekitar Februari lalu, Intan berkongsi khabar gembira apabila disahkan hamil anak kedua.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman pada Ogos 2023. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan anak perempuan iaitu Lunara pada 15 Disember 2024.
Sumber: Instagram Intan Najuwa