Penyanyi dan pelawak, Joey Daud berkongsi satu kisah misteri yang dialaminya ketika menyertai sebuah program lawak terbitan stesen televisyen swasta, beberapa tahun lalu.

Artikel Berkaitan: ‘Nampak Tiga Garis Macam Disebat’ – Joey Daud Kongsi Pengalaman Seram Ketika Gali Kubur

Pitam ketika buat ‘show’

Menerusi podcast ‘Seram Selebriti’, Joey mendakwa dia telah terkena buatan salah seorang peserta program tersebut sehingga membuatkan dirinya lumpuh separuh badan.

Waktu itu dah minggu ke berapa entah, aku tak ingat, masa buat persembahan aku rasa macam kena ‘attack’ dan habis saja persembahan aku macam dah tak boleh jalan.

Aku rasa macam nak pitam dan nak terjatuh tapi nasib baik kawan aku, Khir Rahman sambut.

Lepas itu dia bagi aku minum, tenangkan keadaan dan aku cuba nak bangun balik. Aku cuba bangun dan nak melangkah, secara tiba-tiba aku macam lembik satu badan dan jatuh.

Memang aku dah tak rasa apa dekat badan aku.

Melihat keadaannya yang tidak beransur pulih pada keesokan hari, Joey kemudiannya mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di beberapa hospital.

Walau bagaimanapun, pemilik nama Zulkifli Daud berasa sangsi dengan keputusan ujian darah yang hanya mengaitkan keadaannya itu dengan paras kolestrol yang tinggi.

Esoknya masih sama, aku cuba cubit tangan pun tak rasa apa.

Kemudian aku pergi hospital dan doktor kata kolestrol aku tinggi. Takkanlah lumpuh macam ini sebab kolestrol?

Aku pergi lagi ke beberapa hospital yang lain pun jawapannya adalah sama.

Ada tiga makhluk halus ‘bertenggek’

Tetap tidak berpuas hati, Joey kemudiannya mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan alternatif dengan seorang ustaz.

Aku pun pergi berubat dengan seorang ustaz tapi belum cakap apa lagi dan baru saja sampai, ustaz itu tanya aku ada masuk bertanding ke?

Dia terus cakap, ‘Sabar, kawan awak juga ni (yang buat)’.

Lepas itu dia bantu ubatkan aku dan bawa masuk satu botol kosong besar berwarna hijau. Dia suruh kami scan dan tangkap gambar, memang kosong botol itu, tak ada apa.

Kemudian dia ubatkan aku dengan cara genggam sesuatu dan ‘menarik’ dari atas kepala hingga ke hujung kaki sebelum dia masukkan ‘benda’ itu ke dalam botol kosong itu tadi.

Selepas itu, dia suruh kami yang ada di situ tangkap gambar dan ternyata ada tiga makhluk halus dan satu daripadanya muka seperti anjing.

Di akhir perkongsian, Joey memaklumkan bahawa dia reda dengan apa yang berlaku dan memilih untuk menyerahkan segala-galanya Allah SWT.

Ujarnya, meskipun dia mengetahui siapa individu yang bertanggungjawab, dia memilih untuk tidak menyimpan dendam.

Ustaz itu nak bagitahu pada aku siapa yang buat tapi aku tolak pelawaan dia dan nak cari sendiri.

Cuma dia pesan, jangan buat kerja Tuhan sebab itu boleh memudaratkan aku.

Tapi aku reda sebab aku jadi macam ini sebab dengan izin Tuhan, jadi lepas dapat tahu siapa yang buat pada aku, biar Tuhan saja yang membalasnya.

Sumber: TikTok, YouTube Ashhrapp Channel