berita

Jom Heboh Bawa Kelainan, Ada Kejohanan Bola Jalanan VOCKET ‘3V3’

May 2nd, 2023 | by Alia
Shout Out!

Buat pertama kalinya satu Kejohanan Bola Jalanan VOCKET ‘3V3’ diadakan bersempena ulang tahun ke-20 Karnival Jom Heboh (KJH). Kejohanan ini juga bagi menyahut hasrat kerajaan untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang cergas fizikal dan cerdas mental.

Tarikan Baharu KJH

Menurut Pegawai Pemasaran Portal VOCKET, Saiful Bahari berkata kejohanan ini bakal berlangsung di perkarangan Stadium Shah Alam pada 2 hingga 4 Jun depan yang merupakan satu tarikan baru di KHJ pada tahun ini.

Kami tampil berbeza untuk edisi KJH pada tahun ini kerana sebelum ini kami berhubung dengan para pengunjung menerusi aktiviti-aktiviti di pentas. Tetapi kali ini kami akan adakan Kejohanan Bola Jalanan VOCKET ‘3V3’.

Saiful turut menjelaskan bahawa objektif kejohanan ini seperti serampang dua mata iaitu untuk meningkatkan kesihatan masyarakat dan juga menghubungkan pembaca bersama portal berita VOCKET.

Fokus kami bukan sahaja untuk melahirkan rakyat Malaysia yang menitikberatkan hidup sihat, tetapi untuk menghubungkan lagi VOCKET dengan pembaca di luar sana.

Sebagai salah satu penyedia kandungan berita terkini sukan bola sepak dalam dan luar negara, kami berbesar hati ingin menjemput peminat setia bola sepak untuk sama-sama memeriahkan Kejohanan Bola Jalanan VOCKET ini nanti.

Hadiah menarik menanti anda!

Permainan ini adalah terhad kepada 32 pasukan yang terbuka penyertaanya bermula dari usia 18 tahun ke atas dengan setiap pasukan terdiri daripada tiga orang pemain termasuk dua orang pemain gantian.

Perlawanan akan berlangsung secara tiga sebelah selama 10 minit, iaitu lima minit untuk separuh masa pertama dan lima minit untuk separuh masa kedua.

Tiga pemain akan bermain pada satu-satu masa dan disebabkan ini adalah kejohanan bola sepak jalanan, bola perlu berada di ‘ground’ sahaja dan bola tinggi paras pinggang adalah tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, Saiful juga berkongsi tentang hadiah yang bakal dibawa pulang oleh para pemenang.

Pemenang tempat pertama akan memenangi hadiah wang tunai RM1,000 bersama 5 pingat emas, wang tunai RM700 bersama 5 pingat perak untuk naib juara dan RM400 bersama pingat gangsa untuk pemenang tempat ketiga.

Selain itu, setiap pemenang turut akan menerima jersi edisi terhad VOCKET yang cuma dihasilkan sempena KJH sahaja. Pada setiap edisi KJH yang kami sertai tahun lalu, jersi yang kami hasilkan (berbeza rekaan di setiap lokasi) sangat terhad dan ia laris seperti pisang goreng panas. Tahun ini jika anda mahu jersi ini, anda perlu muncul sebagai juara atau menyertai aktiviti yang kami sediakan di KJH nanti.

Bagi anda berminat untuk menyertai kejohanan ini, boleh layari laman web dan membuat bayaran sebanyak RM200 untuk setiap pasukan.

SKIP THIS AD ×