berita

Jom Meriahkan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-18

February 22nd, 2013 | by Ai
Shout Out!

DSC_0060

Seronok bila mendengar Festival Layang-Layang Sedunia kembali ke Pasir Gudang sekali lagi! Buat kali ke-18 sejak dianjurkan pada 1995, ia sudah menarik hampir 2,000 peserta seluruh dunia. Tahun lalu jumlah terbesar dicatatkan Festival Layang-Layang Pasir Gudang Sedunia itu dengan jumlah 225 peserta dan dijangkakan jumlah ini bakal bertambah.

Malah pada festival kali ini, lebih 600 peserta tempatan di peringkat sekolah, negeri dan badan-badan korporat dari 193 pasukan bakal menyertainya.

Festival ini diadakan secara besar-besaran di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang Johor dan ia sudahpun bermula Rabu lalu hingga Ahad ini.

Ia adalah satu acara pelancongan anjuran Kerajaan Johor melalui Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Jabatan Pelancongan Negeri Johor serta mendapat kerjasama Majlis Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Johor.

DSC_0035

Terdapat 36 negara dijangka menyertai festival ini dan negara baru yang sudah mengesahkan penyertaan ialah Zambia, Colombia, Russia dan Ukraine.  Manakala antara negara lain yang terus menyokong festival ini ialah China, Jepun, England, Perancis, Belgium, Lebanon, New Zealand dan Australia.

Yang Dipertua MPPG, Tuan Haji On [email protected] berkata pelbagai aktiviti sudah direncanakan khusus untuk pengunjung antaranya pertandingan layang-layang dan wau peringkat sekolah, korporat dan kebangsaan.

“Kita juga akan mengadakan pertunjukan layang-layang dari peserta antarabangsa serta persembahan kebudayaan setiap malam dan antara artis jemputan termasuk Ayai, Saleem dan kumpulan Spider. Kehadiran peserta antarabangsa akan turut dimanfaatkan melalui bengkel yang dikendalikan mereka sepanjang festival ini,” katanya.

DSC_0234

Menurut beliau, julung-julung kalinya, akan berlangsung pertandingan Layang-Layang peringkat sekolah Asean dan kategori dipertandingkan ialah Layang-Layang Ciptaan 2D, Layang-Layang Train Kite dan Layang-Layang Rokkaku 5 kaki.

“Tentunya sebagaimana tahun lalu, festival kali ini akan turut menampilkan pertunjukan layang-layang paling unik menggunakan cahaya pada waktu malam di mana ia bakal menggunakan teknologi lampu LED,” katanya.

Masuk adalah percuma dan maklumat lanjut boleh diperolehi dari capaian berikut:

DSC_0075

Turut diadakan ialah pelbagai gerai jualan layang-layang di tapak pertandingan bagi membolehkan orang ramai mencuba sukan ini.

Jom kita turun beramai-ramai ke Pasir Gudang !