berita

Kadi Nikah, Mufti Kelantan & Mufti Perlis Tampil Membuat Kenyataan Terhadap Isu Kahwin Bawah Umur

July 2nd, 2018 | by Amat
Isu & Kontroversi

Sekali lagi Malaysia digemparkan dengan pernikahan seorang gadis usia 11 tahun bersama lelaki berusia 41 tahun sehingga menjadi perbualan hangat netizen. Pelbagai hentaman dan spekulasi yang wujud sehingga lelaki itu terpaksa melarikan diri apabila pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ingin bertemu dengannya.

Artikel berkaitan: ‘Huk Aloh, Lari La Pulok..’

Susulan isu ini, tampil Penolong Pendaftar di Majlis Agama Islam Narathiwat menceritakan perkara sebenar sebelum upacara akad nikah berlangsung, tempoh hari. Turut tidak ketinggalan Mufti Kelantan dan Mufti Perlis mengeluarkan kenyataan masing-masing terhadap isu ini.

Dia bersetuju tanpa paksaan

Menurut laporan dari myMetro, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu memberitahu Kadi Sungai Golok bahawa dirinya sudah baligh. Kadi Hashim Yusoff berkata gadis itu memaklumkan perkara tersebut selepas ditanya beberapa soalan kepadanya.

Sebelum majlis akad nikah bermula jam 11 pagi (waktu Malaysia) pada 18 Jun lalu, saya bertanya kepada bakal pengantin perempuan beberapa soalan kerana terkejut apabila mengetahui usianya 11 tahun.

Soalan pertama saya, adakah dia sudah baligh dan dia menjawab, Ya. Saya tanya lagi adakah dia bersetuju berkahwin dengan lelaki berusia 41 tahun itu, dan dia bersetuju tanpa paksaan.

Dia perlulah melahirkan anak di Thailand

Kedua-dua ibu bapa budak yang turut hadir pada hari itu juga bersetuju dan bersedia menjadi wali. Mereka juga membawa dua saksi bersama.

Majlis akad nikah itu telah berlangsung di Masjid Padang Nyor, Sungai Golok, Selatan Thailand. Tambahnya lagi, selepas akad nikah lelaki ini membawa rombongan pengantin dan keluarga ke rumahnya untuk mengisi beberapa dokumen berkaitan pernikahan mereka.

Saya terangkan kepada pengantin lelaki bahawa walaupun pernikahan itu sah, saya tidak dapat mengeluarkan surat nikah kerana pernikahan itu perlu didaftarkan terlebih dahulu di Malaysia.

Saya juga tidak melarang suami untuk ‘bersama’ isteri mudanya itu tetapi jika remaja itu mengandung sebelum usianya 16 tahun, dia perlulah melahirkan anak mereka di Thailand.

Sementara itu, Hashim Yusoff berharap orang ramai tidak mensensasikan isu ini kerana pernikahan mereka adalah sah dan mengikut hukum syarak. Katanya, antara peraturan dan syarat yang dimaksudkan ialah kanak-kanak itu berasal dari sebuah daerah di selatan Thailand, sudah baligh, dinikahkan tanpa paksaan dan dipersetujui ibu bapanya.

Mendapat keizinan wali tiada masalah – Mufti Kelantan

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri berkata pasangan ini diminta ke Mahkamah Syariah bagi merujuk perkahwinan mereka. Langkah ini perlu untuk meneliti status perkahwinan di negara jiran berkenaan sama ada sah atau sebaliknya. Hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian mengikut peruntukan sedia ada.

Daripada segi hukum syarak, kalau mendapat keizinan wali tiada masalah dan daripada segi peraturan ada kanak-kanak bawah umur perlu mendapat kebenaran mahkamah.

Peraturan itu ditetapkan untuk menjaga kemashalatan kanak-kanak bawah umur, kalau mahkamah dapati tidak wajar mungkin mahkamah tidak luluskan.

Pada masa sama, mahkamah perlu teliti sama ada perkahwinan di negara jiran itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkaitan jarak, wali dan imam (tok kadi) yang berkelayakan. Antara langkah dilakukan dengan merujuk pihak di Thailand untuk mengesahkan perkara ini.

Perlu dirujuk dengan teliti di mahkamah

Itu janji, kalau dia langgar maksudnya dia tidak menepatinya, tapi daripada segi hukum syarak sekiranya perkahwinan itu sah, mereka boleh duduk bersama. Dan persoalan pokok sekarang adalah status perkahwinan itu (sama ada) sah atau tidak, perlu dirujuk dan diteliti mahkamah.

Setakat ini, polis tidak membuat tangkapan terhadap mana-mana pihak termasuk lelaki berkenaan kerana tiada ugutan dalam perkahwinan mereka. Namun, kita menyerahkan kes ini kepada pejabat agama untuk membuat siasatan lanjut.

Perlu diimbangi dengan pandangan mazhab lain – Mufti Perlis

Sementara itu, Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu kenyataan di Facebook menyifatkan kerelaan dalam perkahwinan perlu dilihat dalam konteks lebih besar supaya ia tidak disalah tafsir.

Jelas dalil-dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan. Kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya. Anak perempuan bawah umur yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela.

Jika dia masih lagi di sekolah rendah, bagaimanakah dia akan meneruskan dunia pelajarannya jika dia berkahwin di peringkat itu.

Dia turut menyifatkan wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan yang mana beliau mahu memperolehi keuntungan tertentu adalah tidak layak menjadi wali.

Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa. Dalam Mazhab al-Syafi’i secara khususnya, bapa dan datuk merupakan wali mujbir yang bermaksud wali (pelindung) yang boleh memaksa anak perempuan berkahwin sekalipun tanpa kerelaan anak perempuan berkenaan.

Atas pegangan Mazhab Syafii, kita mendapati banyak kes-kes paksaan kahwin dalam masyarakat Nusantara terutama pada zaman dahulu yang mana wanita tidak banyak mempunyai pilihan. Kita menghormati ketokohan al-Imam al-Syafii r.h sebagai tokoh ilmuwan yang agung. Kita juga menghormati Mazhab Syafii sebagai mazhab yang diamalkan oleh majoriti penduduk di negara ini.

Namun, seperti yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh fanatik tanpa menilai semula pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana mazhab. Masyarakat moden khususnya, tidak boleh terikat dengan hanya satu mazhab sebaliknya hendaklah melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas.

Meskipun Mazhab Syafii membenarkan perkahwinan paksa tanpa kerelaan anak perempuan, namun ia perlu diimbangi dengan pandangan mazhab lain.

Sumber: myMetro, Astro Awani

SKIP THIS AD ×