Penyanyi dan pelakon, Kael menafikan dakwaan mengenai keputusannya untuk memeluk Islam adalah kerana ingin mendirikan rumah tangga bersama kekasih, Engku Sulwani.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kael Lamar Kekasih, Cincin Berlian 2 Karat Jadi Saksi Cinta – ‘Saya Sudah Mohon Restu Keluarganya’

Hasrat peluk Islam

Ketika ditemui OhBulan!, Kael atau nama lengkapnya Michael Lean Chien memaklumkan hasrat untuk memeluk Islam sudah terdetik di hatinya sebelum mengenali Engku Sulwani lagi.

Kami berkenalan dah lebih dua tahun tapi sebelum itu, sejak empat tahun lalu saya sudah ada hasrat untuk peluk Islam. 

Ya, saya peluk Islam bukan sebab nak berkahwin.

Saya sudah bertanya pada diri sendiri, cumanya saya masih lagi mencari, jadi sebelum saya jumpa dengan pasangan pun saya dah ada niat tu.

Cumanya saya percaya bila saya bersama dengan dia, dia bagaikan satu pemangkin bagi keputusan saya.

Bukan dia yang membuat saya untuk memeluk Islam tapi dia sebagai satu pemangkin sebab apa yang sangat penting bagi saya adalah sokongan.

Kael berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran rasmi lagu terbaharunya berjudul Senyum di Cocoday Cafe, Bukit Utama, Petaling Jaya pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Kael mengakui mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga bersama kekasih, selain mahu mendalami agama Islam secara berperingkat.

Prioriti saya yang utama adalah untuk proses (mendalami Islam) sebab keputusan ini amat besar. 

Pertama sekali adalah saya secara ikhlas dengan hati yang terbuka kembali pada Islam. 

Langkah seterusnya dalam proses perancangan untuk menuju ke arah perkahwinan, saya perlu ruang dan masa untuk belajar lebih mendalam langkah demi langkah.

Dalam majlis yang sama, Kael membuat kejutan istimewa apabila memilih untuk melamar Engku Sulwani sebagai isteri dengan membawa sejambak bunga ros merah dan sebentuk cincin berlian.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram miliknya, Kael memaklumkan bahawa dia kini seorang mualaf.

Kael juga dilihat hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama teman wanitanya, Engku Sulwani, untuk urusan tersebut.