
Semalam, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan kematian membabitkan anak kedua kepada penyanyi popular, Nora Ariffin iaitu Alif Johan yang telah pergi meninggalkan dunia buat selamanya. Alif menghembuskan nafas terakhir di rumahnya seawal usia 20 tahun dan kematiannya dikhabarkan menyerupai arwah bapa, Johan Nawawi beberapa tahun lalu.
Pemergian mengejut Allahyarham itu semestinya dirasai oleh insan terdekat beliau, termasuklah adiknya Putri Nur Dahlia. Tidak dapat menahan rasa sedih dan sebak di atas kehilangan abangnya itu, Dahlia kemudian membuat sedikit coretan dan berkongsikan perasaannya di laman Instagram, semalam.
Kami amat rapat
Menerusi perkongsian sayu yang dibuatnya itu, Dahlia berkata arwah abangnya sebelum ini pernah bergurau agar mereka berdua dapat mati bersama-sama. Katanya, mereka malah pernah berjanji agar menjadi kawan baik dan sentiasa menjadi penyokong dan tulang belakang dalam apa jua perkara.
Menurut Dahlia, dia dan arwah abangnya itu juga sememangnya sangat rapat dan sering berkongsi rahsia antara satu sama lain. Apa yang lebih menyedihkan luahnya, pada sehari sebelum arwah meninggal dunia, mereka sempat bernyanyi dan menari bersama-sama di dalam biliknya.
Tak balik dah
Sementara itu, Nora juga turut memuat naik beberapa keping gambar bersama arwah Alif di laman Instagramnya semalam. Menerusi kapsyen yang dibuat penyanyi itu, Nora berkata anaknya kini sudah menemui papanya dan tidak akan pulang lagi buat selama-lamanya.