berita

Kaki Selalu Rasa Kebas? Awas, Anda Mungkin Hidap Kencing Manis & 5 Penyakit Ini

March 11th, 2020 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Kaki kebas sering terjadi kepada individu yang duduk dalam keadaan posisi yang tidak selesa. Ini kerana, jika kaki berada pada posisi yang salah, ia akan menyebabkan saraf di bahagian kaki terhimpit dan menyebabkan kebas tersebut berlaku.

Akan tetapi jika ia berterusan sehingga menyebabkan kaki sentiasa terasa kebas, ia mungkin disebabkan beberapa jenis penyakit. Menerusi Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad, beliau berkongsi punca-punca kaki seseorang menjadi kebas. Kalau korang nak tahu, jom baca!

Punca-punca kaki kebas

1. Kencing Manis

Kencing manis memang merupakan salah satu punca yang selalu menyebabkan kaki kebas. Ini kerana gula yang tinggi ini akan merosakkan sedikit demi sedikit saraf terutamanya dibahagian hujung kaki. Bahkan ia juga boleh merosakkan saluran darah kecil dibahagian hujung kaki.

Bila saraf itu rosak, pesakit tidak akan rasa bila dia terpijak paku atau tersepak sesuatu yang keras. Maka pesakit ini akan selalu mengalami kecederaan pada bahagian kaki. Salur darah yang bermasalah pula akan menyebabkan kurangnya darah pergi ke bahagian tersebut.

Oleh itu, jika ada jangkitan kuman pada bahagian kaki, amat sukar ia untuk baik malah boleh ada jangkitan kuman hingga menyebabkan kaki terpaksa dipotong.

2. Slipped Disc

Slipped disc berlaku apabila cakera di bahagian tulang belakang mengalami masalah dan terkeluar hingga menghimpit saraf tunjang di dalam tulang belakang.

Perlu diketahui saraf tunjang ini berfungsi seolah-olah seperti wayar yang menyambungkan otak dengan kaki dan seluruh bahagian badan yang lain. Jika ia terhimpit maka maklumat rangsang daripada kaki tidak akan sampai ke otak. Oleh sebab itu, pesakit akan merasa kebas pada bahagian kaki jika mengalami masalah ini.

3. Kecederaan pada saraf tunjang

Kemalangan yang menyebabkan patah tulang belakang boleh menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang. Seperti penerangan di atas, saraf tunjang ini berfungsi sebagai wayar. Jika ia putus atau terhimpit maka, pesakit akan merasa kebas pada bahagian yang terlibat.

Segera terima rawatan

4. Multiple sclerosis

Penyakit ini merupakan salah satu penyakit autoimun di mana sel imun badan kita akan menyerang sel badan sendiri dan dalam masalah ini ia akan menyerang tisu saraf itu sendiri.

Apabila tisu saraf itu tidak boleh berfungsi seperti biasa, maka bahagian badan yang terlibat dengan saraf tersebut boleh mengalami kebas. Bahkan ia boleh menyebabkan kelumpuhan pada pesakit. Anda juga mungkin akan merasakan kebas pada bahagian kaki ketika lama duduk terutamanya mereka yang duduk bersila. Ia akan bermula dengan rasa kebas pada kaki kemudian anda akan bangun ataupun mengubah kedudukan untuk memberi keselesaan kepada kaki tersebut

Setelah darah berjalan semula ke kaki tersebut dan saraf tidak terhimpit lagi, ia akan menjadi kebas pada mulanya dan diikuti dengan rasa seperti dicucuk-cucuk. Setelah beberapa minit, kaki anda akan menjadi seperti biasa.

5. Penyakit Arteri Periferal

Penyakit arteri periferal (PAD) adalah suatu keadaan di mana plak terbina di arteri. Lama kelamaan, plak ini boleh mengeras, menyempitkan arteri dan mengehadkan bekalan darah dan oksigen ke bahagian tubuh badan. PAD boleh menjejaskan kaki, yang mengakibatkan kebas pada kedua-dua belah kaki dan tapak kaki. Ia juga boleh meningkatkan risiko jangkitan di kawasan tersebut. Sekiranya PAD cukup teruk, ia boleh menyebabkan ‘gangrene’ dan amputasi kaki.

Jika anda merokok atau mempunyai penyakit jantung, kolesterol tinggi, atau tekanan darah tinggi, risiko PAD anda akan lebih tinggi.

6. Tarsal Tunnel Syndrome

Sindrom terowong Tarsal adalah mampatan saraf tibialis posterior, yang terletak di sepanjang bahagian dalam tumit. Ini dapat menghasilkan gejala yang meluas dari pergelangan kaki ke kaki, termasuklah kesemutan dan kebas di mana saja di tapak kaki.

Gejala biasanya dirasai di bahagian dalam pergelangan kaki dan di sepanjang bahagian bawah kaki. Gejala ini mungkin datang secara tiba-tiba. Sindrom Terowong Tarsal boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal jika tidak dirawat untuk jangka masa yang lama.

Sekiranya anda mengalami rasa kebas atau kesemutan yang berlanjutan dan ia kerap kali terjadi dan tidak sembuh di bahagian kaki anda, anda perlu membuat temujanji untuk berjumpa dengan doktor. Walaupun kebas sekali-sekala boleh berlaku, rasa kebas dan kesemutan yang berterusan boleh menjadi tanda bagi masalah perubatan yang serius.

Lagi cepat diagnosis diketahui, lagi awal rawatan boleh bermula. Dan rawatan awal sering membawa kepada hasil yang positif. Doktor mungkin akan menjalankan beberapa ujian selepas bertanya tentang gejala, keadaan dan sejarah penyakit keluarga korang.

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.