Penyanyi, Marsha Milan memasang impian untuk meraih trofi Vokal Terbaik sekiranya berjaya melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).

Artikel Berkaitan: SFMM40: Shiha Zikir Reda ‘Renjana’ Gagal Lolos – ‘Harapan Tinggi Sebab Lagu Itu Untuk Arwah Abah’

Intai trofi vokal terbaik

Marsha, 40, berkata hasrat itu sudah lama disimpan memandangkan anugerah berkenaan dianggap antara pengiktirafan paling berprestij buat penyanyi dari sudut kemampuan vokal.

Sejujurnya, kalau ada rezeki masuk AJL40, saya mengidamkan untuk menang trofi Vokal Terbaik. Saya menyimpan hasrat itu.

Anugerah lain seperti Persembahan Terbaik serta tempat kedua dan ketiga pernah saya raih, jadi Vokal Terbaik itu antara yang diidamkan ramai penyanyi.

Namun, selebihnya saya serahkan kepada rezeki. Kalau ada rezeki saya bersyukur. Orang kata, apabila kita menyuarakan sesuatu harapan, seolah-olah mendekatkannya dengan kita.

Malah, impian untuk meraih Vokal Terbaik sudah lama. Saya harap suatu hari nanti, saya berpeluang untuk mencapainya.

Marsha berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka yang diadakan di kediamannya, baru-baru ini.

Terdahulu, lagu Tangisan Seorang Pendosa diumumkan sebagai antara karya yang layak ke pentas separuh akhir Muzik-Muzik 40 (SFMM40) yang dijadual berlangsung secara langsung pada 17 dan 18 April ini di TV3.

Mengulas mengenai lagu ciptaan bersama Hazama itu, Marsha berkata karya tersebut menuntut penghayatan emosi yang mendalam.

Bagi saya, lagu ini mempunyai emosi yang lebih mendalam dengan elemen watak seperti insan berdosa, pengemis dan perjalanan batin yang berat. Saya mahu bawakan lagu ini dengan pendekatan yang lebih lembut dan beremosi.

Idea persembahan itu sebenarnya sudah ada. Apabila nama sudah tersenarai ke peringkat separuh akhir, secara automatik saya mula memikirkan konsep. Cuma buat masa ini, masih belum cukup kukuh untuk diolah.

Selain Tangisan Seorang Pendosa, antara lagu lain yang bakal bersaing di SFMM40 adalah Hijab Rindu, Nurcinta, Nostalgila, Lemah, Kerana Ego, Pernah Punya Aku, F, Tiwikarma, Puaskah dan Seribu Tahun Lagi.

Turut memberi saingan adalah Tak Adil, Semacam Pandora, Takdir & Rasa, Cak Cak Cekuk, Hilangmu Tak Terganti, Kamu, Ke Mana Ni, Menyala serta Lumangad Oku Dika.