
Pelakon Rita Nadira menyimpan hasrat untuk berumah tangga dan membina keluarga sendiri, seperti mana impian kebanyakan wanita lain.
Artikel Berkaitan: Rita Nadira Sedang Kenal Hati Budi Seorang Lelaki, Tak Mahu Terlalu Kongsi Soal Peribadi – ‘Orang Tersebut Bukan Dalam Industri’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Kalau Rasa Minat Nak Berlakon, Ambil Teguran Sebagai Pengajaran’ – Rita Nadira
Tak merahsiakan tapi jaga privasi

Ketika ditemui OhBulan!, Rita atau nama lengkapnya Rita Nadira Mohd Ritamurni, 28, mengakui dirinya kini dalam fasa mengenali hati budi seorang jejaka.
Ujar Rita lagi, dia tidak berniat untuk merahsiakan hubungan tersebut, namun lebih memilih untuk menjaga privasi.
Saya tidak merahsiakan, cuma saya keep it private, bukan secret. Maksudnya, saya tak sorok pun. Kalau orang nampak, nampaklah.
Ditanya mengenai tahap serius hubungan itu, pelakon drama Dhia Kasyrani ini mengakui dia enggan terlalu meletakkan harapan tinggi sebaliknya menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT.
Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Kami masih dalam fasa mengenali hati budi, baru lagi.
Saya takut nak jawab sebab kita tak tahu soal jodoh ni macam mana. Doakan yang baik-baik. Kalau boleh serius, siapa yang tak nak ke jenjang pelamin, kan?
Saya rasa semua wanita memang impian dia nak berkeluarga, ada suami, ada anak. Penat juga nak kenal orang baru, kenal orang baru. Penat juga ya.
Rita berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Filem Qifarah yang berlangsung di GSC MidValley pada Selasa.
Seimbangkan kerjaya & kehidupan peribadi

Berkongsi mengenai perjalanan kariernya, Rita menegaskan bahawa dia tidak terlalu mengejar populariti, sebaliknya mahu menyeimbangkan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Kalau nak fokus, nak bina nama sampai bila? Tak kahwinlah kan. Kalau saya betul-betul nak bina nama, tak tak adalah saya kenal sesiapa. Saya mesti akan fokus dekat diri sendiri je.
Kalau boleh, saya nak ke arah itu (perkahwinan) dan membina keluarga sendiri. Itulah impian setiap wanita.
Dalam perkembangan lain, Rita kini tampil dalam filem terbaharu berjudul Qifarah, yang turut dibintangi oleh Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Namron, Isma Daniel dan ramai lagi.
Filem arahan pengarah Ghaz Abu Bakar itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober lalu.
Qifarah diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama My Way Pictures dan Astro Shaw, serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi.








