Foto: Harian Metro
Siapa sangka, gadis berusia 20 tahun ini mampu melakukan kerja di kebun kelapa sawit yang kebiasaan dilakukan oleh orang lelaki. Nor Syazwani Nor Azman ini juga mampu membuktikan saiz badan bukan halangan baginya untuk mengangkat dan memunggah buah kelapa sawit.
Dapat RM400 sebulan
Foto: Harian Metro
Menerusi laporan Harian Metro, Syazwani yang mempunyai berat badan 40 kilogram membantu bapa saudaranya mengambil upah menuai kelapa sawit di kebun milik penduduk tanah rancangan Felda berkenaan.
Saya membantu menyusun pelepah kelapa sawit dan membawa buah ke platform berhampiran jalan, jika ia dekat saya menggunakan besi pengangkat buah kelapa sawit dan sekiranya jauh menggunakan kereta tolak. Saya mula melakukan pekerjaan ini ketika berumur 15 tahun selepas keadaan ketika itu tidak mengizinkan untuk saya menyambung belajar.
Tambah Syazwani, dia tidak mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran, namun tekad melakukan kerja di kebun yang kebiasaan dilakukan oleh orang lelaki. Ujarnya lagi, dia mampu memperoleh upah sekitar RM400 sebulan dan menggunakan duit itu bagi keperluan sendiri.
Disoal mengenai pengambilan suplemen mahupun makanan istimewa agar sentiasa kuat, Syazwani memberitahu dia tidak mengambil sebarang vitamin sebaliknya, makan apa yang dimasak oleh ibunya sahaja. Biarpun memiliki tubuh badan yang kecil, gadis ini boleh mengangkat setandan buah kelapa sawit yang dianggarkan seberat 25 kilogram.
Hebat boleh angkat setandan buah kelapa sawit
Rata-rata netizen memberi pujian buat Syazwani dan menganggap gadis tersebut seorang yang kuat dari segi mental dan fizikal. Ujar netizen, bukan semua individu mampu mengangkat setandan buah kelapa sawit. Ini kerana, berat buah tersebut sama seperti satu tong gas. Netizen turut memberi nasihat supaya gadis tersebut menjaga postur badannya ketika mengangkat buah berkenaan.
Sumber: Harian Metro