Pelakon, Kamal Adli mengakui dirinya masih bergelut dengan emosi dan berada dalam proses memulihkan diri selepas dua minggu berpisah secara rasmi dengan aktres Uqasha Senrose.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Bapa Mentua Kongsi Momen Kamal Adli & Hawra, Netizen Kagum Dengan Sifat Matang – ‘Jadi Orang Tengah Tidak Melagakan’

Fasa pemyembuhan

Kamal, 40, berkata, apa yang dilalui ketika ini bukan sesuatu yang mudah, dia terpaksa menyembunyikan perasaan sebenar demi memastikan komitmen kerjanya berjalan lancar di set penggambaran.

Saya seronok sibuk bekerja dan dalam masa sama sedang ‘recovery’. Perkara ini baharu untuk saya, bukan sesuatu yang pernah saya lalui sebelum ini.

Tak pernah rasa begini, di set penggambaran saya hanya buat-buat okay.

Kamal berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Fenomena Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam masa sama, Kamal turut mengakui tekanan emosi yang dialami memberi kesan terhadap dirinya sehingga menyebabkan selera makan terjejas dan berat badan menyusut.

Saya tak boleh tipu diri sendiri, sebenarnya saya memang koyak. Saya terpaksa teruskan penggambaran sebab itu rezeki saya. Sampai tahap saya tak rasa nak makan. Memang saya tengah diet, tapi situasi ini ‘tolong’ sekali.

Dalam pada itu, aktor tersebut berkata masih banyak perkara yang perlu dihadam dan dia memilih untuk menghabiskan masa bersendirian apabila pulang ke rumah sebagai cara menenangkan diri.

Walaupun sibuk shooting, bila ada masa sendirian barulah saya sempat fikir dan ‘healing’. Lepas habis penggambaran, saya balik kerja duduk dalam bilik saja.

Berfikir, solat dan buat apa yang mampu. Nak kata ia membantu sepenuhnya tidak, tapi Alhamdulillah saya bersyukur sebab kerja pun banyak.

Kamal turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan di set yang memahami keadaannya dan tidak menyentuh isu peribadi, sebaliknya berusaha menceriakan suasana.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.

Pasangan yang berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia setahun lapan bulan.